Sabah Rekod Kluster Punca Jangkitan Dipercayai Dari Indonesia

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah merekodkan satu kluster baharu hari ini iaitu Kluster Sawit Segama di Lahad Datu berpunca daripada kes indeks seorang wanita wargan Indonesia yang memasuki negeri berkenaan pada 25 Jun lalu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah Datuk Masidi Manjun berkata, wanita berusia 48 tahun itu dikesan positif Selasa lalu hasil ujian saringan di sebuah klinik swasta, selepas mempunyai simptom batuk dan sakit tekak tiga hari sebelumnya.

Menurutnya, wanita berkenaan yang tiba bersama dua cucunya sebelum itu diarah menjalani kuarantin di sebuah ladang sebelum dibenarkan kembali berkerja.

Susulan penemuan kes positif itu, Masidi dalam satu kenyataan berkata, pengesanan kes secara aktif dan saringan dijalankan terhadap 64 kontak dan mendapati 14 lagi individu disahkan positif sementara 49 negatif untuk saringan pertama.

“Semua kes positif dalam kluster ini dirujuk ke Hospital Lahad Datu untuk rawatan lanjut dan pengasingan di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) Lahad Datu, manakala semua kontak rapat juga diarahkan untuk menjalani kuarantin di pusat kuarantin PPR Sri Sepagaya, Lahad Datu,” katanya.

Secara keseluruhan, Masidi berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 di negeri itu hari ini adalah sebanyak 323 kes menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 71,791 kes, manakala 230 pesakit sembuh menjadikan jumlah kumulatif seramai 68,969 orang. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *