
LABUAN: Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia (Maqis) Labuan menahan sebuah kontena yang membawa 25,200 kilogram ayam sejuk beku dari Denmark.
Produk haiwan bernilai RM246,400 itu yang dibawa masuk menggunakan sebuah kontena ditahan di Pelabuhan Dermaga dan Merdeka di sini, pada 30 Jun lalu.
Menurut kenyataan media yang dikeluarkan Maqis, penahanan produk hasilan haiwan adalah untuk menjalankan siasatan lanjut oleh pihaknya.
Katanya, hasil pemeriksaan awal pegawai penguat kuasa mendapati produk hasilan haiwan yang dikemukakan dengan permit import sudah tamat tempoh.
“Kegagalan pengimportan keluaran pertanian tanpa permit import yang sah menjadi suatu kesalahan mengikut Seksyen 11(1), Akta Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan Malaysia 2011(Akta 728).
“Jika sabit kesalahan, boleh didenda tidak lebih RM100,000 atau penjara tidak lebih enam tahun atau kedua-duanya sekali mengikut Seksyen 11(3) akta yang sama,” katanya.
Menurutnya, pihak Maqis mengingatkan kepada pengimport dan pengeksport supaya lebih peka dan mematuhi syarat serta peraturan yang ditetapkan kerajaan.
Katanya, ia bagi memastikan keselamatan makanan di negara ini terjamin dan selamat. – HMetro
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost