Dua Lelaki Dikehendaki Polis

Dua gambar lelaki yang dikehendaki polis.

PAPAR: Dua lelaki yang dipercayai terbabit dalam beberapa siri jenayah curi kabel, berjaya melarikan diri selepas merempuh kenderaan polis di sini, malam tadi.

Kedua-dua lelaki itu melakukan tindakan berkenaan ketika pasukan cuba menahan suspek sebaik identiti mereka dikenalpasti.

Ketua Polis Daerah Deputi Superintendan Batholomew Ak Umpit berkata, kedua-dua suspek berusia 21 dan 36 tahun itu dikesan aktif melakukan kegiatan berkenaan sejak tahun lalu.

Katanya, mereka dipercayai terbabit sekurang-kurangnya 10 kes kecurian kabel telekomunikasi membabitkan nilai kira-kira RM100,000.

“Mereka melakukan jenayah ini bersama-sama dengan seorang lagi lelaki berusia 19 tahun yang sudah ditahan, sebelum ini.

“Hasil soal siasat, polis berjaya mengenalpasti suspek yang mempunyai kaitan dengan jenayah berkenaan dan mengepung mereka di sebuah lokasi di daerah Papar kira-kira pukul 10.30 malam.

“Bagaimanapun, kedua-dua suspek bertindak agresif menyerang polis dengan merempuh kenderaan pihak berkuasa sebelum melarikan diri,” katanya pada sidang media di IPD Papar, hari ini.

Batholomew berkata, operasi memburu kedua-dua suspek sedang giat dijalankan dan siasatan awal mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau yang melibatkan dadah dan curi.

Sehubungan itu, Batholomew meminta orang ramai yang mempunyai maklumat untuk membantu siasatan dalam usaha menangkap kedua-dua suspek.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan kerana cubaan membunuh dan 379 kerana mencuri,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost