Wanita Dicabul, Dibelasah Penceroboh Rumah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang wanita berdepan detik cemas selepas bukan sahaja dicabul malah dibelasah oleh seorang lelaki yang memecah masuk rumahnya di Bukit Padang di sini, semalam.

Pada kejadian jam 6 pagi, mangsa yang berusia 34 tahun bagaimanapun dapat menyelamatkan diri selepas bergelut dengan penjenayah terbabit dengan keluar meminta tolong daripada jiran.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, siasatan awal mendapati, mangsa yang baru selesai mandi diserang oleh suspek sebelum diheret ke atas tilam.

“Mangsa yang meronta dan menjerit meminta tolong berjaya melepaskan diri walaupun beberapa kali ditumbuk serta dicekik oleh suspek.

“Kepala mangsa turut dihentak ke dinding bilik namun dia terus melawan sehingga berjaya membuka pintu utama rumah dan menjerit meminta pertolongan.

“Jeritan itu disedari jirannya yang terus memeriksa belakang rumah mangsa sebelum melihat suspek melompat keluar daripada tingkap kediaman,” katanya dihubungi hari ini.

Mohd Zaidi berkata, jiran mangsa mengenali suspek yang dikatakan turut tinggal di sebuah rumah di kawasan berkenaan.

Katanya, hasil siasatan, pihaknya menahan suspek dan merampas pakaian yang dipakai ketika kejadian.

“Hasil siasatan, suspek mengaku masuk ke rumah mangsa untuk mencuri namun selepas melihat keadaan mangsa, suspek bertukar niat dan cuba mencabulnya.

“Semakan mendapati, suspek mempunyai rekod kesalahan lampau mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 448 Kanun Keseksaan,” katanya.

Kes turut disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul dan Seksyen 323 akta sama kerana mencederakan mangsa. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *