457 Karton Arak Tanpa Cukai Sumbunyi Dalam Kedai Dirampas

Suspek bersama minuman keras tidak bercukai yang dirampas melalui Op Kontraban oleh PGA Sabah. – Gambar Ihsan PGA

KOTA KINABALU: Menggunakan premis restoran menjual makanan Islam sebagai salah satu tempat penyimpanan. Itu taktik digunakan sindiket penjualan minuman keras tidak bercukai yang dipercayai untuk mengaburi mata pihak berkuasa.

Bagaimanapun, kegiatan berkenaan berjaya dikesan Pasukan Gerakan Am (PGA) Sabah yang merampas 457 karton minuman keras dalam operasi Op Kontraban, yang dijalankan di Pekan Tamparuli, Tuaran, semalam.

Dalam operasi jam 1.40 petang itu, pasukan PGA yang bertindak atas maklumat awam turut berjaya menahan seorang lelaki berusia 25 tahun bagi membantu siasatan lanjut.

Komander Briged PGA Sabah, Senior Asisten Komisioner Mohd Abduh Ismail berkata, hasil tangkapan awal berkenaan, pasukan PGA berjaya menemui 54 karton minuman keras yang disimpan di dalam sebuah van.

Katanya, dengan dipandu arah oleh suspek, polis kemudiannya menemui 123 karton pelbagai jenis minuman keras yang disembunyikan di sebuah restoran makanan Islam.

“Hasil soal siasat lanjut, suspek kemudiannya menunjuk arah ke sebuah lagi premis kedai yang menyimpan 280 karton minuman keras.

“Suspek terbabit bersama barangan rampasan kemudiannya diserahkan ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran untuk siasatan dan tindakan selanjutnya,” katanya, ketika dihubungi, hari ini.

Gambar Ihsan PGA

Mohd Abduh berkata, antara jenama minuman keras yang dirampas adalah Tiger, Holandia, Carlsberg, Royal Stout, Sea Pearl dan Jager Beer.

Katanya, rampasan kali ini membabitkan nilai keseluruhan sebanyak RM 100,847 berdasarkan harga pasaran semasa.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost