Polis Marin Patahkan Cubaan Seludup Petrol & Tong LPG

Minyak Petrol yang berjaya dirampas dalam operasi tersebut. – Foto PPM

SEMPORNA: Pasukan Polis Marin (PPM) daerah ini berjaya mematahkan cubaan menyeludup petrol dan tong gas petroleum cecair (LPG) ke negara jiram dalam kejadian di perairan laut Sisipan, di sini, semalam.

Dalam kejadian 5 petang itu, juragan bot berkenaan bagaimanapun gagal ditahan selepas nekad terjun ke laut untuk meloloskan diri ke kawasan hutan bakau berhampiran.

Pegawai Pemerintah PPM Semporna, Deputi Superintendan Mohammad Ismail berkata, ketika anggota PPM dalam tugas perondaan di perairan Semporna mengesan sebuah bot laju dalam keadaan mencurigakan.

Katanya, ketika dihampiri juragan bot melarikan diri dan hasil pemeriksaan menemui 12 tong berisi petrol dan dua tong gas LPG yang disyaki cuba diseludup ke Filipina.

“Bot dan muatan dianggarkan bernilai RM27,931 dirampas kerana disyaki cuba seludup barang kawalan ke Filipina.

“Semua rampasan dibawa ke Markas Operasi PPM Semporna untuk tindakan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Katanya, pihak turut merampas sebuah pam bot dengan membawa 15 kotak minyak masak di Jeti Kayu Hujung Pasar Kampung Air.

“Juragan bot gagal dikesan selepas nekad terjun ke laut dan melarikan diri ke laut Pulau Bum-Bum.

Minyak masak yang berjaya dirampas dalam operasi tersebut. – Foto PPM

“Pemeriksaan turut menemui pelbagai jenis ikan sebanyak 10 kilogram dipercayai ditangkap menggunakan bahan letupan,” katanya.

Mohammad berkata, jumlah nilai keseluruhan rampasan membabitkan dua kes ini bernilai RM32,181.

“Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 dan Akta Perikanan 1985,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *