Polis Penampang Buka Kertas Siasatan Pegawai Diaibkan

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim. 

PENAMPANG: Polis membuka kertas siasatan berhubung mesej tular yang mengaibkan pegawai kanan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang menerusi WhatsApp sejak pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, pihaknya terkesan dengan mesej tular yang mengaibkan seorang pegawai kanan polis ketika menjalankan tugas penguatkuasaan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0.

Katanya, hasil semakan mendapati mesej yang tular itu berhubung satu kes kompaun yang dikeluarkan pegawainya yang bertugas di IPD Penampang terhadap seorang individu kerana didapati bersalah rentas daerah tanpa kebenaran.

“Oleh itu, polis sedang menjalankan siasatan terhadap individu berkenaan dan satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan iaitu perkataan atau isyarat yang mengaibkan kehormatan orang.

“Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara maksimum lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.

Sehubungan itu, Mohd Haris menasihatkan orang ramai supaya tidak sewenang-wenangnya memuat naik, menularkan dan berkongsi sesuatu kenyataan yang boleh mengaibkan mana-mana pihak terutama membabitkan kredibiliti pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) di media sosial.

“Orang ramai juga disarankan supaya sentiasa mematuhi SOP PKP yang ditetapkan kerana kegagalan itu boleh dikenakan tindakan undang-undang,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *