Janji Bina Jalan Tapi ‘Habuk Pun Tiada’, Penduduk Kampung Di Tenom Cipta ‘Motosikal Troli’

Bekas ketua Kampung Pangi, Udin Bakiwoh (atas motosikal) turut menghasilkan ‘motosikal troli’ sendiri untuk kegunaan keluarganya.

KOTA KINABALU: Selepas janji demi janji membina jalan raya tidak pernah ditunaikan, penduduk di Kampung Pangi, Sabah mencari alternatif sendiri untuk ke pekan Tenom yang terletak kira-kira 8km dari kampung mereka dengan mencipta “motosikal troli” atau “troli haram” yang bergerak menggunakan landasan kereta api.

Kira-kira 500 penduduk Kampung Pangi sukar keluar membeli barang keperluan atau menghantar hasil tanaman kerana tiada laluan kenderaan ke kampung itu. Ia turut menjejaskan tiga kampung lain yang terletak berhampiran.

Penduduk menggunakan ‘motosikal troli’ untuk menghantar hasil tanaman ke pekan Tenom.

Troli buatan sendiri yang menggunakan landasan kereta api itu sudah lama dicipta dan digunakan penduduk Kampung Pangi serta Kampung Rayoh berdekatan.

Dulu, troli berkenaan hanya digerak menggunakan tenaga manusia, iaitu dengan menolaknya di atas landasan kereta api, tetapi kini ianya dinaik taraf menggunakan motosikal sebagai penggerak.

Lebih menarik, “motosikal troli” dicipta sekumpulan anak muda di kampung berkenaan yang mempelajarinya daripada YouTube.

Bekas ketua Kampung Pangi, Udin Bakiwoh, 55, berkata “motosikal troli” semakin kerap digunakan, terutama apabila kereta api ke kampung terbabit tidak beroperasi susulan perintah kawalan pergerakan (PKP).

Sebelum ini, “motosikal troli” hanya digunakan untuk tujuan kecemasan, khasnya ketika kereta api tidak beroperasi.

Beliau berkata, “motosikal troli” hanya akan digunakan selepas mengetahui jadual pergerakan kereta api dari stesen di kampung mereka atau di Tenom.

“Kami tahu ini (‘motosikal troli’) tidak dibenarkan, tetapi apa yang harus kami buat, kalau jalan yang boleh dilalui kenderaan tiada di kampung kami?

“Mujurlah ada ‘motosikal troli’ ini, sekurang-kurangnya kami mempunyai kenderaan untuk keluar ke pekan Tenom membeli barang keperluan serta menghantar hasil tanaman seperti pisang dan getah,” katanya kepada FMT.

Udin berkata, masa perjalanan dari Kampung Pangi ke Tenom kira-kira sejam, bergantung kepada pengendali “motosikal troli”.

“Kalau yang muda-muda, kadang-kadang kurang sejam sudah sampai Tenom, tetapi macam kami yang sudah tua ini tidak berani bawa laju.”

Beliau berkata, beberapa menteri daripada kerajaan terdahulu berjanji akan membina laluan kenderaan dari pekan Tenom ke kampung mereka, namun sehingga kini “habuk pun tiada”.

“Pernah juga ada seorang wakil rakyat memberitahu saya yang pembinaan jalan tidak sesuai kerana akan merosakkan produk pelancongan popular yang ada di Kampung Pangi.

Penduduk menggunakan ‘motosikal troli’ untuk menghantar hasil tanaman ke pekan Tenom.

“Produk pelancongan yang ada di Pangi ialah aktiviti berakit, di mana pelancong akan menaiki kereta api untuk datang ke sini, seterusnya berakit di Sungai Padas.

“Tetapi, mana yang lebih penting, pelancong atau penduduk asal negeri ini? Bagi saya, jika ada jalan dibina, bukankah ia akan meningkatkan lagi taraf produk pelancongan yang ada di sini?”

Sehubungan itu, Udin berharap kerajaan semasa akan memandang serius masalah itu memandangkan kampung terbabit kini mempunyai kemudahan lain seperti bekalan elektrik dan talian telekomunikasi.

“Apa yang kami harapkan hanyalah jalan raya ke Tenom. Di kampung ini, ramai anak muda yang sudah berjaya, ada pensyarah, inspektor polis, tetapi kampung ini masih terperangkap tanpa laluan yang boleh dimasuki kereta.

“Satu-satunya pengangkutan kami ialah kereta api, tetapi operasinya terhad dan keadaan bertambah buruk waktu PKP ini kerana ianya tidak beroperasi.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost