Sabah Benarkan Operasi E-Hailing Rentas Daerah Tanpa Surat Polis

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah membenarkan perkhidmatan e-hailing, teksi yang berdaftar dengan e-hailing dan perkhidmatan penghantaran barangan beroperasi merentas daerah tanpa surat kebenaran polis, bermula esok.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, bagaimanapun berkata, kelonggaran itu hanya membabitkan rentas daerah di antara Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang.

Katanya, kebenaran itu diberikan mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) sepanjang tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 bagi memenuhi keperluan masyarakat.

“Masa operasi dibenarkan bermula jam 6 pagi hingga jam 8 malam setiap hari dengan had kapasiti seorang penumpang saja kecuali untuk tujuan perubatan atau kecemasan dengan had maksimum dua penumpang,” katanya dalam kenyataan media, malam ini.

Pengendali perkhidmatan terbabit sebelum ini tertakluk kepada SOP ketat PKP yang tidak membenarkan rentas daerah, termasuk di antara Putatan, Penampang dan Kota Kinabalu yang sebelum ini dikategorikan sebagai satu daerah bagi memudahkan pergerakan.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata Kluster Kampung Bolong Baru yang dilaporkan di Tuaran dan Kota Belud pada 7 Jun lalu dikenal pasti sebagai kluster paling aktif hari ini bersama empat lagi kluster sedia ada yang lain.

Beliau berkata, kluster terbabit merekodkan 15 kes baharu positif COVID-19, diikuti Kluster Ocean Blue (sembilan kes) Kluster Taman Wawasan (lapan kes), Kluster Lot 9 (lima kes) dan Kluster Serudung Baru (lima kes).

Katanya, kelima-lima kluster itu, menyumbang 42 kes daripada keseluruhan 48 kes positif COVID-19 yang dikesan melalui saringan kluster di Sabah hari ini.

Secara keseluruhan, Sabah mencatat 193 kes baharu positif COVID-19 hari ini dengan tiga kematian, iaitu masing-masing dua di Tawau dan satu di Sandakan, manakala seramai 319 orang dilaporkan sembuh.

Masidi berkata, kes baharu hari ini meningkat 27 kes berbanding 166 kes yang dilaporkan semalam.

“Daripada 193 kes jangkitan baharu hari ini, 84 kes adalah hasil daripada saringan kontak rapat, diikuti saringan kluster (48 kes), saringan bergejala (17 kes), saringan bersasar (32 kes) 12 kes lagi daripada lain-lain saringan,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *