‘Op Sarang’ : Lapan Penagih Ditahan Di Beaufort

BEAUFORT: Seramai lapan penagih dadah berjaya ditahan dalam operasi ‘Op Sarang’ yang dijalankan di Kampung Rancangan Klias, di sini, hari ini.

Dalam operasi jam 5.20 pagi membabitkan Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Beaufort itu dijalankan dengan kerjasama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) cawangan Beaufort.

Ketua Polis Daerah Beaufort Deputi Superintendan Yusoff Zaki Mat Yaacob berkata, pasukan operasi melakukan serbuan terhadap sembilan rumah di kawasan kampung berkenaan.

Katanya, seramai 10 lelaki yang dipercayai terbabit dalam aktiviti penyalahgunaan dadah berjaya ditahan.

“Bagaimanapun, hasil ujian saringan air kencing mendapati hanya lapan daripadanya positif dadah jenis methamphetamine.

“Semua lapan individu terbabit kemudiannya ditahan untuk siasatan mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39C akta yang sama,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Yusoff Zaki berkata, pihaknya juga akan mengambil risikan percakapan terhadap semua lapan individu terbabit untuk tujuan tindakan Mengikut Akta Dadah Berbahaya (Langkah-Langkah Pencegahan Khas) 1985. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost