Covid-19: Vaksinasi Di Sandakan Dijangka Meningkat Kepada 3,000 Dos Sehari Bulan Depan

Wong Foo Tin

SANDAKAN, 21 Jun : Kapasiti pemberian vaksin COVID-19 di daerah ini dijangka meningkat kepada 3,000 dos sehari bulan depan, susulan pembukaan pusat pemberian vaksin (PPV) di Dewan Hakka di sini bulan depan.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah (JPBD) Sandakan Wong Foo Tin berkata, PPV berkenaan merupakan yang ketiga di daerah itu sebagai tambahan kepada PPV Dewan Masyarakat Sandakan dan PPV Dewan Serbaguna Sri Libaran, yang berkapasiti 1,000 dos vaksin setiap hari.

“Kami memahami ramai yang telah lama mendaftar di MySejahtera untuk menerima vaksin, tetapi masih belum mendapat tarikh janji temu kerana PPV yang terhad,” katanya kepada pemberita selepas meninjau operasi hari pertama PPV Dewan Serbaguna Sri Libaran dekat sini hari ini.

Sementara itu Wong berkata, seramai 304 individu dari pelbagai institusi agama seperti masjid, gereja dan tokong di sekitar Sandakan diberi vaksinasi dos pertama hari ini, untuk meyakinkan masyarakat berbilang kepercayaan mengenai keselamatan vaksin COVID-19 termasuk jaminan kandungan vaksin halal untuk umat Islam.

Pegawai Kesihatan Kawasan Sandakan Dr Johari Awang Besar pula berkata, pihaknya yakin Sandakan mampu mencapai 80 peratus imuniti kelompok menjelang Oktober atau November ini, melalui pelbagai usaha yang dilaksanakan agensi itu dengan kerjasama agensi lain.

Dr Johari berkata, usaha berkenaan termasuk memperhebatkan pendaftaran penerima vaksin di kawasan yang penduduknya sukar mendaftar melalui aplikasi MySejahtera disebabkan ketiadaan akses internet.

“Dengan adanya tiga PPV serta beberapa klinik kesihatan seperti Klinik Kesihatan Sandakan, Sungai Manila, Ulu Dusun dan Suan Lamba, serta tujuh klinik komuniti yang dirancang beroperasi bulan depan (sebagai PPV), akan mempercepatkan usaha pemberian vaksin,” katanya.

Dr Johari juga berkata Jabatan Kesihatan Negeri Sabah dan Kementerian Kesihatan sedang berusaha untuk mendapatkan vaksin dos tunggal, seperti CanSino dan Johnson & Johnson untuk diberikan kepada penduduk di kawasan terpencil.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Sandakan ACP Mohd Azhar Hamin berkata, pasukan keselamatan di daerah tersebut telah digerak untuk menjayakan proses saringan di kawasan bersasar oleh petugas kesihatan, selain mencari pendekatan terbaik mengekang penularan pandemik itu.

Mohd Azhar yang juga Timbalan Pengerusi JPBD Sandakan, merayu kepada masyarakat di daerah ini agar memberi kerjasama dalam mematuhi prosedur operasi standard ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) agar Sandakan, yang mencatatkan 216 kes aktif sehingga semalam, kembali sebagai zon hijau. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *