Sabah Boleh Tunjuk Kepimpinan, Adakan Sidang DUN Awal

Dengan 79 ADUN, termasuk enam wakil yang dicalonkan, Sabah mempunyai bilangan ADUN kedua tertinggi selepas Sarawak. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Sabah boleh “mencuri perhatian” dengan mengadakan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) awal yang selamat, kata penganalisis.

Mereka berkata, pengumuman Ketua Menteri Hajiji Noor baru-baru ini bahawa Sabah bersedia mengadakan semula persidangan itu dibuat tepat pada masanya.

Susulan kenyataan raja-raja Melayu bahawa darurat tidak perlu dilanjutkan selepas 1 Ogos dan Parlimen dan DUN patut bersidang secepat mungkin, Perlis, Negeri Sembilan dan Selangor berkata, mereka sedang mengambil langkah ke arahnya.

Pensyarah kanan Universiti Malaysia Sabah (UMS) Lee Kuok Tiung berkata, jika Sabah dapat mengadakan persidangan yang selamat, “maka negeri-negeri lain dan Dewan Rakyat tiada alasan untuk menangguhkan sesi mereka selepas itu”.

Dengan 79 ADUN, termasuk enam wakil yang dicalonkan, Sabah mempunyai bilangan ADUN kedua tertinggi selepas Sarawak.

“Perlis telah mengumumkan tarikh yang pasti pada Ogos untuk DUN bersidang semula, tetapi Sabah boleh mencuri perhatian dengan mengadakannya lebih awal. Sudah tentu ini setelah pemeriksaan keselamatan dan kesihatan yang diperlukan dijalankan,” kata Lee kepada FMT.

“Di peringkat persekutuan, pembangkang mungkin mendesak hal-hal seperti usul tidak percaya terhadap Perdana Menteri, tetapi pastinya tiada (hal-hal sebegini) di Sabah di mana Hajiji mendapat sokongan majoriti.”

Pada Jumaat, Hajiji berkata, DUN bersedia mengadakan persidangan bila-bila masa jika keadaan mengizinkan, dan kerajaan negeri akan meminta nasihat Majlis Keselamatan Negara (MKN).

Beliau juga telah mengadakan perbincangan dengan Speaker negeri Kadzim M Yahya.

Tony Paridi Bagang dari UiTM Sabah berkata, Gabungan Rakyat Sabah (GRS) boleh menunjukkan bahawa ia mahu mendengar pandangan rakyat dengan mengadakan sidang DUN lebih awal.

“Pengumuman oleh Ketua Menteri itu adalah komitmen kerajaan GRS sebagai tindak balas terhadap nasihat Agong.

“Setelah semua syarat seperti implikasi perundangan dan kelulusan daripada MKN dipenuhi, sepatutnya tiada masalah mengadakan persidangan,” katanya.

Romzi Ationg, juga dari UMS, menambah: “Ya, lagi cepat lagi baik. Agong bersuara dengan jelas dan lantang … Parlimen dan DUN harus dibuka kembali bagi membolehkan perbincangan tentang bagaimana untuk memerangi wabak.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *