RM1,000 Untuk Waris Pesakit COVID-19, Meninggal Dunia – MUIS

Setiausaha MUIS, Ramlan Awang Ali (kiri) menyerahkan cek replika RM100,000 untuk peruntukan khas bagi waris pesakit COVID-19 yang telah meninggal dunia di Sabah kepada Setiausaha Tugas-Tugas Khas, Sapdin Ibrahim (kanan) disaksikan Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif (tengah). – Foto SABAHitz On9 TV

KOTA KINABALU: Kerajaan negeri menerusi Majlis Ugama Islam Sabah (MUIS) memperuntukkan sebanyak RM100,000 bagi bantuan khas sekali bayar (one-off) kepada waris pesakit COVID-19 yang telah meninggal dunia di Sabah.

Menteri Tugas-Tugas Khas Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif, berkata setiap waris keluarga pesakit COVID-19 meninggal dunia yang dikenal pasti oleh Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) akan diberikan bantuan sekali bayar sebanyak RM1,000.

Selain itu katanya, bantuan khas bakul makanan juga akan diagihkan kepada golongan khususnya asnaf yang terjejas susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 membabitkan peruntukan berjumlah RM300,000.

“MUIS akan mengagihkan sebanyak 4,000 bakul makanan kepada golongan asnaf yang terjejas akibat PKP 3.0.

“Golongan asnaf ini akan dikenal pasti oleh Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS) di setiap daerah untuk pengagihan bantuan bakul makanan ini,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas program Penyerahan Pakej Bantuan Covid Majlis Ugama Islam Sabah bertempat di Masjid Negeri Sabah, di sini, semalam.

Dalam pada itu, Arifin turut berkata seramai 9,800 penerima bantuan bulanan (asnaf fakir) yang terkesan disebabkan pelaksanaan PKP 3.0 yang berdaftar di bawah MUIS akan menerima bantuan tambahan sekali bayar sebanyak RM150 membabitkan peruntukan RM1.47 juta.

Menurutnya, asnaf dan fakir terbabit adalah golongan yang menerima bantuan bulanan daripada Bahagian Zakat dan Fitrah MUIS berjumlah sekitar RM200 hingga RM300 setiap bulan.

“RM150.00 ini adalah bantuan tambahan sekali bayar kepada mereka berikutan PKP 3.0.

“Selain itu, bantuan khas sekali bayar berjumlah RM500 juga diberikan kepada petugas mesra ibadah yang terlibat dalam menguruskan jenazah,” katanya.

Mohd Arifin berkata, dianggarkan seramai 280 orang petugas mesra ibadah seluruh Sabah akan menerima bantuan khas terbabit yang melibatkan peruntukan sebanyak RM140,000. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost