40 Individu Positif Covid-19 Dipercayai Daripada Sambutan Kaamatan – Masidi

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Masidi Manjun.

KOTA KINABALU: Seramai 40 individu dikesan positif COVID-19 dipercayai berpunca daripada sambutan Kaamatan akhir bulan lalu yang kemudian mencetuskan kluster berkaitan komuniti di Sabah, hari ini.

Kluster Kionsom Kecil di Inanam, dekat sini tercetus selepas seorang lelaki berusia 31 tahun yang juga pekerja di sebuah syarikat di Inanam, disahkan positif COVID-19 melalui saringan bergejala di Jesselton Medical Centre, di sini pada 9 Jun lalu.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata berikutan kes itu, seramai 86 kontak rapat menjalani ujian saringan COVID-19 pada 12 dan 13 Jun lalu dengan 27 daripadanya dikesan positif.

“Sehingga kini, jumlah kumulatif bagi kluster ini ialah 40 kes. Ada 34 sampel masih menunggu keputusan ujian saringan, manakala 12 sampel didapati negatif,” katanya dalam kenyataan, malam ini.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, berkata semua kematian yang berlaku di luar hospital di Sabah akan diklasifikasikan sebagai positif COVID-19 sehingga ujian saringan menunjukkan sebaliknya.

Beliau berkata, kematian di luar hospital perlu dilaporkan ke balai polis berdekatan sebelum dipanjangkan ke Pejabat Kesihatan Daerah dan dibawa ke bilik mayat hospital oleh pihak Kementerian Kesihatan (KKM) dengan bantuan polis untuk menjalani ujian RT-PCR atau RTK Antigen.

“Jenazah yang disahkan positif COVID-19 akan diurus mengikut garis panduan kematian disyaki atau disahkan positif COVID-19.

“Bagi yang beragama Islam, lokasi pengebumian akan ditentukan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (JHEAINS), manakala bagi agama lain akan ditentukan ketua agama di daerah masing-masing.

“Bagi jenazah yang tiada agama, lokasi pengebumian ditentukan Ketua Kampung.

“Pergerakan jenazah ke daerah lain hendaklah atas persetujuan Pejabat Kesihatan Daerah dan polis di tempat kematian berlaku,” katanya.

Beliau berkata, prosedur operasi standard (SOP) itu berkuat kuasa mulai hari ini dan berterusan sepanjang pandemik COVID-19.

Secara keseluruhan, Sabah merekodkan 184 kes baharu positif COVID-19 dengan tiga kematian, masing-masing dua di Tawau dan satu di Semporna, manakala sebanyak 226 kes sembuh.

Kes baharu hari ini menunjukkan penurunan 46 kes berbanding 230 kes yang dilaporkan semalam. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost