Sabah Turut Patuhi Lanjutan ‘Lockdown’ PKP 3.0

Keputusan itu diambil sebagai langkah berjaga-jaga bagi membendung peningkatan jangkitan, kata Ketua Menteri Hajiji Noor. – Foto BERNAMA

KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah mengumumkan negeri itu akan mematuhi ‘lockdown’ di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP 3.0) yang telah dilanjutkan sehingga 28 Jun.

Dalam kenyataan, Ketua Menteri Hajiji Noor berkata, keputusan itu susulan penilaian dilakukan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Covid-19 Negeri Sabah dalam satu mesyuarat, hari ini.

“Keputusan itu dilihat sebagai langkah berjaga-jaga bagi mengekang peningkatan jangkitan di negeri ini,” katanya.

Sebelum ini, kerajaan negeri itu tidak semestinya mengikut sekatan pergerakan penuh yang dilaksanakan kerajaan persekutuan.

Ketika PKP 3.0 pertama kali diumumkan bulan lalu, media sosial dipenuhi soalan warga Sabah sama ada negeri itu turut akan melaksanakan ‘lockdown.’

Sementara itu, Sabah merekodkan 278 kes baharu dalam tempoh 24 jam, iaitu peningkatan 69 kes berbanding semalam.

Ini hari ke-25 berturut-turut negeri itu merekodkan jangkitan tiga angka.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Masidi Manjun berkata, bilangan jangkitan yang tinggi adalah susulan tindakan Kementerian Kesihatan mempertingkatkan saringan bersasar rumah ke rumah di lokaliti yang diletakkan di bawah PKP diperketatkan (PKPD).

Tambahnya, saringan tidak hanya terhad kepada kontak rapat.

“Akibatnya, bilangan kes dijangka meningkat dalam beberapa hari akan datang sehingga saringan besar-besaran ini diselesaikan,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19.

Beliau berkata, bilangan kes direkodkan hari ini kurang daripada dijangkakan pihak berkuasa.

Menurutnya, ini berkemungkinan susulan langkah berjaga-jaga diambil, termasuk memperketatkan sekatan perjalanan antara daerah serta pengubahsuaian SOP sebagai garis panduan untuk penduduk. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost