Op Noda: Langgar SOP PKP, Polis Tahan 7 Individu Di Pusat Hiburan

Polis memeriksa individu yang didapati melanggar SOP PKP 3.0.

KOTA KINABALU: Tujuh individu termasuk seorang penjaga premis ditahan dalam operasi Op Noda yang dijalankan di sebuah pusat hiburan si pusat bandaraya, awal pagi tadi.

Dalam operasi jam 1.40 pagi itu, individu yang ditahan turut membabitkan tiga warga asing yang tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri yang sah.

Pegawai Turus Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Perjudian dan Kongsi Gelap (D7), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah, Deputi Superintendan Alhusin Halil berkata, pemeriksaan awal mendapati premis berkenaan mempunyai lesen hiburan yang sah.

Bagaimanapun katanya, hasil pemeriksaan lanjut di salah sebuah bilik pusat hiburan berkenaan mendapati terdapat empat wanita bersama dua lelaki.

“Proses pemeriksaan dokumentasi mendapati seorang lelaki dan dua wanita adalah bukan warganegara manakala selebihnya warga tempatan.

“Semua ditahan kemudiannya ditahan mengikut Perkara 17 Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak menjaga penjarakan sosial, mengunjungi pusat hiburan dan tidak mengimbas Mysejahtera,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Alhusin berkata, semua yang ditahan berusia 17 hingga 54 tahun manakala seorang lelaki dan dua wanita pula turut didapati positif dadah.

Katanya, penjaga premis pula disiasat mengikut Seksyen 4 Ordinan Hiburan Awam (PEO) 1958 kerana beroperasi.

“Tiada rampasan dilakukan dan semua tangkapan membabitkan pengunjung dan penjaga premis dibawa ke IPD Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost