Kes Covid-19 Melonjak Naik Bukan Sebab PRN Sabah – Shafie

Datuk Seri Mohd Shafie Apdal

KOTA KINABALU : Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menafikan kes Covid-19 melonjak naik disebabkan Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah yang diadakan tahun lalu sebaliknya beliau mendakwa ia berlaku disebabkan kerajaan yang ada pada hari ini.

Dakwanya, tidak mungkin pilihan raya diadakan jika pihak terbabit tidak rakus dengan kuasa untuk ‘membeli’ wakil rakyat dan menggunakan pelbagai kaedah untuk mendapatkan sokongan.

“Bukan kerana pilihan raya diadakan semata-mata maka berlakunya keadaan kes Covid-19 meningkat secara mendadak. Perbuatan itu dilakukan oleh pihak kerajaan yang ada pada hari ini.

“Tidak mungkin pilihan raya boleh diadakan kalau mereka tidak rakus dengan kuasa membeli dan mengambil beberapa tindakan penguatkuasaan untuk mengalihkan dan mendapat sokongan daripada wakil-wakil rakyat.

“Jika itu tidak dilakukan, kita masih menjadi kerajaan yang stabil,” katanya dalam satu forum yang diadakan secara maya pada malam Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya moderator bahawa ramai berpendapat kes Covid-19 melonjak naik susulan PRN Sabah sedangkan situasi ketika itu sudah terkawal.

Katanya lagi, pelbagai langkah diambil ketika beliau menjadi Ketua Menteri untuk mengatasi Covid-19 termasuk menyekat penerbangan dari negara lain seperti dari Wuhan, China.

“Tiada kerajaan yang ada di Malaysia mengambil tindakan tegas. Waktu kita jadi kerajaan, kita ‘lockdown’ penerbangan malah dari semua bukan hanya dari Wuhan. Kita mempunyai banyak pelancong dari China, tetapi kerajaan negeri ketika itu mengambil tindakan tegas untuk tidak menggalakkan dan menerima pelancong-pelancong dari China khususnya dari Wuhan.

“Kerana kita dapati keadaan itu boleh memudaratkan rakyat kita dan juga penduduk di Sabah, maka dipersoalkan oleh Menteri Pengangkutan ketika itu dan Tun Mahathir (Perdana Menteri ketika itu) kerana kuasa ruang udara di bawah bidang kerajaan Persekutuan.

“Saya akui tetapi saya nyatakan pada mereka, boleh mendarat di Kota Kinabalu tetapi kuasa imigresen di bawah kuasa kerajaan Sabah dan kita boleh menghalang mana-mana pihak yang datang tanpa mengambil perhatian faktor keselamatan, mengganggu gugat ketenteraman, itu ada dalam bidang kuasa kerajaan negeri,” katanya.

Sehubungan itu, beliau yang juga Presiden Parti Warisan Sabah (Warisan) sekali lagi menegaskan bahawa peningkatan kes Covid-19 bukan kerana pilihan raya.

“Pilihan raya tidak mungkin diadakan kalau mereka tidak kacau, seperti juga kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak akan berubah yang mana telah diberi mandat rakyat dalam pilihan raya lalu. Tetapi mereka pecah belah, pecah Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), pecah PKR, pecah UMNO, jadilah kerajaan Perikatan Nasional (PN).

“Kalau mandat rakyat itu diteruskan tanpa ada desakan daripada mana-mana pihak kepada Tun Mahathir, tidak mungkin beliau melepaskan jawatannya. Tapi desakan demi desakan bukan hanya daripada luaran tetapi dalaman partinya,” katanya. – SINAR

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost