Penunggang Motosikal Maut Rempuh Kerbau Di Inanam

Mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan.

KOTA KINABALU: Seorang lelaki berusia 25 tahun maut selepas merempuh seekor kerbau dalam kejadian di Jalan Kionsom, Inanam, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 7.30 malam itu, mangsa yang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss seorang diri, dikatakan dalam perjalanan dari arah Pekan Inanam menuju ke Kampung Kionsom.

Bagaimanapun, sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa, Muhizan Shazry Simon, dipercayai gagal mengelak seekor kerbau yang tiba-tiba melintasi jalan berkenaan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Mohd Zaidi Abdullah berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian menerusi talian kecemasan MERS 999 .

Katanya, laporan yang diterima daripada orang awam itu mendakwa berlaku satu kemalangan di jalan berkenaan membabitkan sebuah motosikal dan seekor kerbau.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa didapati terbaring dalam keadaan parah bersama motosikal yang ditunggang.

“Saksi turut mendakwa melihat seekor kerbau yang cedera di tengah jalan. Namun, haiwan berkenaan sudah beredar dari lokasi kemalangan selepas itu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Zaidi berkata, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Likas, Dr Nurul Maslina Nor’ Azizi pada jam 8.03 malam.

Katanya, mangsa tidak disyaki mabuk namun sampel darah akan diambil semasa proses bedah siasat untuk analisis alkohol dan dadah.

“Keadaan tempat kejadian gelap tanpa lampu jalan dan permukaan jalan juga sedikit cerun menuruni bukit.

“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost