OKU Rentung Dalam Kebakaran Di Keningau

Anggota bomba memadam kebakaran di Kampung Bakiau, Keningau. – Foto Pembaca

KENINGAU: Seorang lelaki yang juga orang kurang upaya (OKU) ditemui rentung selepas rumahnya di Kampung Bakiau, di sini, musnah terbakar awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 1 pagi itu, mangsa, Amburus Antougou, 65, tinggal bersama anaknya yang berusia 45 tahun gagal diselamatkan selepas api membakar sebahagian besar rumah mereka.

Ketua Polis Daerah Keningau, Deputi Superintendan Shahrudin Mat Husain berkata, mangsa tinggal bersama anaknya di rumah papan yang berkeluasan 5.5 meter persegi.

Katanya, ketika kejadian kedua-dua mangsa sedang tidur.

“Anak lelaki mangsa dikatakan cuba untuk menyelamatkan bapanya namun gagal memandangkan api sudah terlalu marak.

“Anak mangsa juga tidak dapat memastikan punca kebakaran atau api bermula dari bahagian mana memandangkan hanya menyedari selepas api memusnahkan hampir keseluruhan rumah,” katanya di sini, hari ini.

Shahrudin berkata, mangsa adalah OKU yang tidak mampu berjalan dan mayat ditemui di bilik tidur.

Katanya, kejadian hanya membabitkan sebuah rumah dan kediaman jiran yang hampir terletak kira-kira 50 meter.

Anggota bomba memadam kebakaran di Kampung Bakiau, Keningau. – Foto Pembaca

“Mayat dihantar ke Hospital Keningau untuk proses bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai kematian mengejut.

“Setakat ini, anggaran kerugian dan punca sebenar kejadian masih dalam siasatan,” katanya. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *