Tidak Perlu Surat MITI Untuk Rentas Daerah Bagi Perkhidmatan & Barangan Perlu

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) menetapkan bahawa tiada keperluan untuk mendapatkan surat kelulusan daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (​MITI) untuk rentas daerah bagi pekerja perkhidmatan perlu  dan barangan perlu.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Seri Masidi Manjun berkata, perkara itu ditetapkan pada bermesyuarat yang berlangsung pada 2 Jun 2021.

Bagaimanapun katanya, para pekerja ini perlu menyediakan surat majikan dan surat kebenaran rentas daerah daripada Polis Diraja Malaysia (PDRM).

“Kerajaan Negeri sedar situasi yang dihadapi pada masa ini akibat daripada pandemik COVID-19 menjejaskan perkembangan sektor ekonomi dan kelangsungan hidup rakyat Sabah.

“Kerajaan Negeri telah mengambil langkah awal menyediakan Tatacara Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Umum di negeri Sabah yang menjelaskan kebenaran operasi bagi perkhidmatan perlu dan barangan perlu sepanjang tempoh pelaksanaan PKP mulai 1 sehingga 14 Jun 2021,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata, kebenaran operasi bagi perkhidmatan perlu dan barangan perlu adalah di bawah bidang kuasa Kerajaan Negeri dan Pihak Berkuasa Tempatan Negeri.

Oleh itu katanya, Kerajaan Negeri melalui Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (COVID-19) adalah bertanggungjawab menyedia SOP-Umum khas untuk Sabah sebelum diwartakan. 

“Tatacara Operasi Standard yang terperinci bagi setiap aktiviti perlu dan rantaiannya seperti sektor pertanian dan industri makanan, sektor perkilangan dan pembuatan, sektor pengangkutan, sektor pelancongan, sektor perbankan dan sebagainya telah dikeluarkan oleh semua Kementerian di Sabah,” katanya.

Beliau turut menjelaskan usaha sedang diambil bagi meningkatkan pendaftaran penerima vaksin dengan mengadakan Program Jangkau Luar (outreach) melibatkan pelbagai agensi dan jabatan kerajaan. 

“Begitu juga dengan Program Imunisasi Covid Sabah yang kini berada dalam fasa 2, usaha sedang diambil untuk mempertingkatkan pemberian vaksin.

“Lebih banyak Pusat Pemberian Vaksin Awam telah mula beroperasi dalam bulan Jun. Klinik-klinik swasta telah juga dibenarkan untuk memberi vaksin,” katanya.

Katanya, bermula pada Julai depan pemberian vaksin akan mula diberikan untuk pekerja kilang, peruncitan, pengangkutan dan lain-lain perkhidmatan perlu ekonomi. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *