Lelaki Ditemui Meninggal Dunia Dalam Kenderaannya

Mangsa ditemui meninggal dunia di dalam kenderaannya di kawasan tempat parkir.

TAWAU: Seorang lelaki ditemui meninggal dunia dalam kenderaan miliknya di kawasan parkir Klinik Kesihatan Tawau Jenis II, Jalan Chong Thien Vun, di sini, pagi Khamis.

Dalam kejadian jam 8.30 pagi tadi, mangsa, 49, ditemui orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri di tempat duduk pemandu sebuah kenderaan jenis pelbagai guna (MPV).

Mangsa cuba dikejutkan orang awam beberapa kali memandangkan kenderaannya berkunci dari dalam, namun, tiada sebarang respon.

Terdahulu, menurut ibu mangsa, anaknya dikatakan keluar dari kediamannya pada jam 9.30 pagi, kelmarin, tanpa memaklumkan lokasi yang dituju.

Bagaimanapun, lelaki itu tidak pulang ke rumah menyebabkan ibunya memaklumkan ahli keluarga lain dan kenalan mereka untuk mencari mangsa.

Seorang daripada kenalan mereka kemudian menemui kenderaan lelaki itu di kawaaan parkir ketika datang melakukan urusan di Klinik Kesihatan Tawau Jenis II, pagi tadi, sebelum segera menghubungi keluarganya.

Keluarga mangsa cuba memecahkan cermin kenderaan, namun, tidak berjaya sebelum bertindak mengambil kunci pendua di rumah.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan MERS 999 pada jam 10.44 pagi berhubung kejadian itu.

“Mangsa disahkan meninggal dunia oleh pasukan perubatan yang tiba di lokasi kejadian.

“Setakat ini, tiada unsur jenayah ditemui di lokasi kejadian dan kes dikategorikan sebagai mati mengejut,”katanya dalam kenyataan media, di sini hari ini.

Menurut Peter, mayat mangsa dihantar ke Hospital Besar Tawau untuk bedah siasat bagi mengetahui punca sebenar kematian. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *