Suspek Kes Cabul Peserta ‘Unduk Ngadau’ Ditahan

KOTA KINABALU: Ahli politik sebuah parti tempatan yang didakwa mencabul salah seorang peserta Unduk Ngadau Pesta Kaamatan, sudah ditahan polis, hari ini.

Lelaki terbabit ditahan selepas membuat sidang media di pejabatnya di Asia City, di sini, kira-kira jam 1 petang tadi.

Difahamkan, sidang media berkenaan dibuat berhubung tindakan mahkamah yang akan diambil terhadap dua individu dan sebuah laman blog.

Ia dipercayai berkaitan video yang tular menunjukkan perselisihan faham antara beliau dengan pengawal keselamatan dan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) di Hongkod Koisaan, Persatuan Kebudayaan Kadazandusun (KDCA) di Penampang bulan lalu.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali berkata, suspek sudah ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu untuk tindakan selanjutnya.

Katanya, kes akan disiasat mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

“Jika sabit kesalahan, pesalah boleh dijatuhi hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman berkenaan,” katanya ketika dihubungi, hari ini

Sementara itu, Hazani berkata, peserta Unduk Ngadau yang menjadi mangsa kejadian ini sudah dipanggil untuk hadir dirakam keterangannya, hari ini.

Katanya, wanita berusia 20-an itu dipanggil bagi membantu siasatan lanjut berhubung kes berkenaan. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *