TAWAU : Sebanyak enam Sekatan Jalan Raya (SJR) didirikan di daerah ini sepanjang Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) 3.0 dilaksanakan bermula hari ini.
Lokasi SJR yang didirikian termasuklah di Jalan Utara, Jalan Kuhara, Batu 2 jalan apas, Simpang Jambatan Putih, KM50 jalan Tawau-Semporna dan RCP Kalabakan.
Selain itu, polis turut menutup beberapa jalan utama yang memasuki bandar Tawau iaitu di jalan Tanjung Batu, jalan Mawar, jalan Bestari, jalan Dominic, jalan Salleh dan jalan Bahagia.
Pegawai Pemantau SJR IPD Tawau, Asisten Superintendan Polis (ASP) Ghazali Abd Gani berkata seramai 328 anggota yang terdiri daripada Polis, RELA dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ditugas menjaga SJR sepanjang PKP 3.0 ini dilaksanakan.
“Sepanjang penugasan tersebut, anggota kita akan membuat pemeriksaan terhadap dokumen penduduk yang melalui SJR tidak kira pekerja swasta mahupun kerajaan.
“Sekiranya mereka mengemukakan surat yang betul, anggota kita akan memberikan laluan, jika tidak ada surat, mereka akan diarahkan patah balik ataupun dikompaun,”katanya ketika ditemui di SJR jalan Kuhara, di sini, hari ini.
Beliau berkata, daripada pemerhatian sepanjang SJR ini dilaksanakan, kenderaan agak kurang berbanding hari biasa.
“Warga Tawau dinasihatkan untuk sentiasa duduk di rumah dan tidak perlu ke Bandar sekiranya tidak ada keperluan mendesak.
“Sekiranya berada di Bandar, pastikan sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan bagi mengekang penularan wabak,”katanya
Ghazali berkata, warga Tawau diminta untuk memberikan kerjasama kepada pihak berkuasa yang menjaga SJR dan pegawai yang terlibat dalam rondaan pematuhan SOP.
“Kita tidak teragak-agak mengambil tindakan termasuk mengeluarkan kompaun kepada sesiapa yang didapati ingkar arahan pihak berkuasa,”katanya.- Utusan Borneo
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost