IPD Penampang Lebih Tegas Kuatkuasakan SOP Di Empat SJR

Haris menyoal salah seorang pengguna jalan raya semasa melawat SJR di Jalan Penampang di sini.

PENAMPANG: Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang akan melaksanakan penguatkuasaan pemantauan Prosedur Operasi Standard (SOP) secara tegas sepanjang ‘total lockdown’ fasa pertama bermula hari ini sehingga 14 Jun depan.

Pemantauan secara menyeluruh berkenaan akan membabitkan seramai 160 pegawai dan anggota  di empat Sekatan Jalan Raya (SJR) yang dibuka di sekitar daerah Penampang dan Putatan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, penugasan ini akan dijalankan secara tegas, fokus dan ketat.

Katanya, empat SJR yang dibuka juga akan menumpukan kepada kesalahan serta pelanggaran isi kandungan SOP termasuk bilangan individu di dalam kenderaan, pemakaian pelitup muka dan bilangan penumpang dalam kenderaan E-hailing serta pengangkutan jalan.

“Memandangkan penugasan kali ini sudah di tahap PKP 3.0. IPD Penampang akan mengambil pendekatan lebih tegas dan memfokuskan kepada pemantauan ketat SOP.

“Bagi zon ini yang meliputi daerah Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan, kita akan memastikan empat SJR di daerah ini menumpukan kepada kesalahan serta pelanggaran SOP,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui semasa melakukan lawatan di salah satu SJR di Jalan Penampang -Kota Kinabalu di sini semalam.

Mohd Haris berkata, pihak polis juga akan terus mengeluarkan kompaun terhadap mana-mana pihak yang didapati melanggar dan mengingkari SOP.

“Kita akan terus memberikan kompaun kepada mereka yang ingkar dan melanggar SOP ditetapkan selaras dengan arahan Ketua Polis Negara.

“Sehubungan itu, kita menasihati masyarakat supaya sentiasa mematuhi SOP kerana kita tidak mahu membebankan mana-mana pihak sepanjang PKP dengan nilai kompaun yang amat tinggi,” katanya.

Mohd Haris berkata, semua penduduk di daerah Penampang dan Putatan juga diharap dapat mematuhi arahan dikeluarkan sepanjang tempoh PKP ini dalam usaha mengurangkan penularan COVID-19.

Haris menyoal salah seorang pengguna jalan raya semasa melawat SJR di Jalan Penampang di sini.

“Setakat ini tiada sebarang pelanggaran SOP dikesan sejak SJR dibuka dan kita berharap penduduk akan terus kekal berdisiplin kerana kita sudah melalui dua fasa PKP sebelum ini.

“Saya juga menasihatkan masyarakat supaya duduk di rumah jika tiada sebarang urusan serta keperluan muastahak dan bagi mereka yang keluar bekerja pula, sila patuhilah SOP sepenuhnya untuk mengelakkan penularan COVID-19,” tegasnya.

Mohd Haris berkata, masyarakat Penampang juga dinasihatkan supaya terus memberi kerjasama kepada barisan hadapan kita bagi bersama-sama memutuskan rantaian penularan COVID-19. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *