8 Ahli Kumpulan Abu Sayyaf Diserahkan Kepada Filipina

Ahli kumpulan pengganas Abu Sayyaf diserahkan kepada pasukan keselamatan Filipina di sempadan perairan Sandakan, Filipina, pagi tadi.

KOTA KINABALU: Lapan individu yang dikenalpasti sebagai ahli pergerakan pengganas Abu Sayyaf diserahkan kepada pihak berkuasa Filipina, hari ini.

Upacara penyerahan berkenaan dijalankan di perairan antarabangsa sempadan perairan Sandakan dan Taganak, Filipina, kira-kira jam 8.15 pagi tadi.

Penyerahan secara rasmi itu diketuai Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali bersama Komander ESSCOM Datuk Ahmad Fuad Othman.

Manakala delegasi pihak berkuasa Filipina pula diketuai Komander Joint Task Force (JTF) Tawi-Tawi, Filipina, Brigadier Jeneral Arturo G Rojas yang diiringi Pegawai Marine Brigade Marine Sulu, Kolonel Hernanie Sungano.

Hazani berkata, lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang diserahkan adalah Sansibar Bencio, Hamzah Faizal, Ladin Faizal, Munimar Binda, Firdaus Omar, Sansis Mohamad, Halim Akhir dan Yusof Akram.

Katanya, penyerahan secara rasmi itu dilakukan mengikut Seksyen 32(1 )Akta Imigresen 1959/63 yang dikendalikan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sandakan diketuai Ketua Penguatkuasanya, Muhammar Isa Halsey.

“Semasa proses penyerahan, pihak berkuasa negara ini turut menyerahkan maklumat hasil soal siasat yang dijalankan pihak Cawangan Khas Sabah.

“Majlis berjalan lancar dan harmoni di mana kedua-dua pihak berjanji akan meneruskan kerjasama baik dalam menangani ancaman militan terutama membabitkan kepentingan dua negara,” katanya dalam ketika dihubungi, hari ini.

Sebelum ini, seramai lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, 8 Mei lalu.

Susulan daripada itu, siasatan terus giat dijalankan polis sebelum lima lagi ahli kumpulan pengganas terbabit berjaya ditembak mati dalam insiden berbalas tembakan di lokasi sama.- AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *