Lelaki Cedera Dikapak Rakan Bergurau Ketika Mabuk

Senjata tajam kapak yang digunakan oleh suspek ketika kejadian. – Gambar Ihsan PDRM

PENAMPANG: Gurauan dua sahabat ketika minum arak berakhir tragedi berdarah apabila seorang daripada mereka cedera diserang menggunakan kapak, di Kampung Buit Hill, Putatan, di sini, Isnin lalu.

Dalam kejadian jam 10.30 malam itu, mangsa berusia 31 tahun cedera di tangan dan belakang badan selepas dikapak oleh rakannya sendiri.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, sebaik menerima laporan, sepasukan anggota dam pegawai polis dikerah ke lokasi kejadian.

Katanya, mangsa yang berlumuran darah diberikan rawatan kecemasan sebelum dihantar ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQEI) untuk mendapatkan rawatan lanjut.

“Siasatan awal mendapati mangsa mengalami kecederaan akibat kesan tetakan di tapak tangan kiri dan bahagian belakang badan.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada salah faham antara kedua-dua mereka ketika mabuk selepas minum minuman keras,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, hasil siasatan dijalankan pihaknya berjaya menahan suspek berusia 29 tahun di sebuah rumah tidak bernombor di kampung berkenaan.

Katanya, polis turut berjaya merampas sebilah kapak yang dipercayai digunakan dalam kejadian berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim

“Siasatan lanjut masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *