6 Penghantar Makanan Dikompaun RM1,500 Seorang Di Lahad Datu

Rohan Shah berkata polis dan pejabat kesihatan memandang serius tahap pematuhan SOP penduduk daerah Lahad Datu dalam memastikan penularan COVID-19 dapat ditangani

LAHAD DATU: Akibat gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) mencegah Covid-19 dengan tidak memakai pelitup muka serta berkumpul, enam penghantar makanan bermotosikal masing-masing dikenakan kompaun RM1,500 dalam satu operasi bersasar, semalam.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Rohan Shah Ahmad berkata, enam lelaki berusia antara 20 dan 30 tahun itu dikenakan kompaun tersebut mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 (Akta 342).

“Operasi bersama Pejabat Kesihatan Daerah Lahad Datu ini dijalankan di tiga lokasi di kawasan hadapan Darvel Bay, Bandar Sri Perdana serta Fajar.

“Operasi ini menyasarkan kepada penghantar makanan di sini agar mematuhi SOP dan kompaun ini dikeluarkan selepas beberapa kali diberi nasihat namun masih ingkar,” katanya.

Rohan Shah berkata, polis dan pejabat kesihatan memandang serius tahap pematuhan SOP penduduk daerah Lahad Datu dalam memastikan penularan Covid-19 dapat ditangani.

“Negara kini berdepan dengan varian baharu Covid-19 yang kesannya lebih agresif dan kita tidak mahu pelaksanaan SOP di Lahad Datu ini dipandang enteng, diambil mudah,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *