7 Pemandu Mabuk Ditahan Di Penampang

Sebanyak 91 kenderaan diperiksa dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, Penampang semalam. – Foto IPD Penampang

PENAMPANG: Seramai tujuh pemandu ditahan selepas didapati memandu dalam keadaan mabuk dalam operasi Op Mabuk yang dijalankan di Jalan Bundusan, di sini, malam tadi.

Operasi yang dijalankan selama beberapa jam itu berjaya melakukan pemeriksaan terhadap 91 kenderaan yang melalui jalan berkenaan.

Ketua Polis Daerah Penampang Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, operasi dijalankan hasil kolaborasi bersama Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Sabah serta Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Penampang.

Katanya, operasi kali ini diketuai Pegawai Turus Penguatkuasa JSPT Sabah, Asisten Superintendan Andi Baso dan dibantu Ketua BSPT Penampang, Inspektor Jupri Usman bersama 17 anggota dan pegawai.

“Sebanyak 91 kenderaan diperiksa dan tujuh individu ditahan atas kesalahan memandu di bawah pengaruh alkohol.

“Sepanjang operasi dijalankan, polis turut mengeluarkan 19 saman atas pelbagai kesalahan termasuk enam daripadanya adalah saman tidak memiliki lesen memandu,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Mohd Haris berkata, semua individu terbabit ditahan mengikut Seksyen 45A(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Pindaan 2020) iaitu kesalahan memandu kenderaan di bawah pengaruh alkohol melebihi had ditetapkan.

Katanya, jika sabit kesalahan, pemandu boleh dijatuhi hukuman penjara tidak lebih dua tahun dan denda tidak kurang dari RM10,000 dan tidak melebihi RM30,000.

“Orang awam dinasihatkan supaya tidak memandu di bawah pengaruh alkohol bagi mengelak daripada risiko kemalangan jalan raya.

Antara pemandu yang diperiksa dalam Op Mabuk di Jalan Bundusan, Penampang semalam. – Foto IPD Penampang

“BSPT penampang akan terus memperhebatkan Op Mabuk ini menjelang sambutan Pesta Kaamatan,”katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *