2 Lelaki Cuba Seludup Minuman Keras Ditahan

Kedua-dua lelaki tersebut. – Foto PPM Wilayah 4 Sabah

LABUAN: Cubaan dua lelaki menyeludup masuk minuman keras gagal apabila bot dinaiki mereka karam selepas bergeser dengan bot Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Tanjung Aru, di sini, malam tadi.

Dalam kejadian jam 10 malam itu, PPM Labuan yang menjalankan operasi di perairan Tanjung Aru, terserempak dengan dua bot dalam keadaan mencurigakan.

Pegawai Pemerintah Markas Operasi PPM Labuan, Asisten Superintendan Saidul Maruf Rosli berkata, dua bot berkenaan yang dilihat bergerak ke tanah besar Sabah kemudian diarahkan berhenti namun tidak diendahkan.

Katanya, bot penyeludup itu terus memecut laju, membuatkan anggota PPM bertindak mengejar kedua-dua bot berkenaan.

“Salah satu bot berkenaan berjaya ditahan selepas karam akibat bergeser dengan bot PPM manakala sebuah lagi bot dapat meloloskan diri.

“Juragan dan seorang awak-awak bot masing-masing berusia 47 tahun yang karam kemudiannya diselamatkan dan ditahan untuk siasatan lanjut,” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, hasil pemeriksaan, PPM menemui plastik hitam berisi minuman keras ditemui terapung di laut.

“Nilai rampasan minuman keras termasuk cukai itu dianggarkan berjumlah RM9,100. Kedua-dua suspek ditahan dan minuman keras dirampas kerana melakukan kesalahan mengikut 135(1)(d) Akta Kastam 1967,” katanya.

Sementara itu, Saidul berkata, pihaknya akan terus melaksanakan operasi seperti ini dari semasa ke semasa dalam usaha membanteras aktiviti penyeludupan dan menguatkuasakan undang-undang maritim di sekitar perairan Sabah.

Antara minuman keras yang dirampas. Foto PPM Wilayah 4 Sabah

“PPM Wilayah 4 Sabah sentiasa mengalu-alukan maklumat daripada seluruh komuniti maritim untuk melaporkan sebarang aktiviti yang melanggar undang-undang secara terus menggunakan aplikasi whatsapp ke Pusat Komunikasi PPM Sabah di talian 0132831197,” katanya. – Asiatimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *