Sabah Perketat SOP Selepas 2 Pasangan Dari Labuan Cetus Kluster Raya Di Tawau

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Sabah memperketatkan syarat untuk memasuki negeri ini selepas dua kes indeks berasal dari Labuan mencetuskan kluster Covid-19 di Tawau.

Prosedur operasi standard (SOP) baharu itu akan berkuat kuasa pada Khamis.

Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Masidi Manjun berkata, kes indeks itu melibatkan dua pasangan suami isteri dari Labuan yang melawat Tawau sempena sambutan Hari Raya.

Masidi yang juga jurucakap Covid-19 negeri berkata, kerajaan kini mewajibkan mereka yang mahu memasuki Sabah mengambil ujian polymerase chain reaction (PCR) dan bukannya ujian antigen rapid (RTK Ag).

“Mereka yang bukan rakyat Sabah kini perlu menjalani kuarantin 14 hari di hotel yang ditanggung sendiri,” katanya dalam kenyataan harian Covid-19, hari ini.

“Rakyat Sabah, penduduk tetap atau mereka yang mempunyai permit kerja juga mesti menjalani pengasingan di rumah selama 14 hari sebaik memasuki negeri ini.”

Katanya, mereka boleh menginap di salah satu daripada 17 hotel di ibu negeri dan Tawau yang disenaraikan sebagai pusat kuarantin oleh kerajaan.

Tambahnya, bilangan hotel akan ditambah jika yang sedia ada penuh.

Masidi berkata, pegawai kerajaan dibenarkan memasuki Sabah asalkan telah mengambil ujian PCR selain memiliki surat rasmi menyatakan mereka mempunyai tugasan rasmi di negeri itu.

Katanya, pelabur asing perlu memohon kebenaran khas kerajaan negeri sebelum dibenarkan masuk.

Mengulas pasangan dari Labuan itu, Masidi berkata, bagi kes pertama pasangan terlibat memasuki Sabah selepas mengambil ujian RTK Ag yang kedua-duanya negatif pada 7 Mei.

“Bagaimanapun, selepas menghabiskan seminggu di Tawau bagi sambutan Hari Raya di Ladang Abaka, mereka mula menunjukkan gejala pada 12 Mei seterusnya disahkan positif dua hari kemudian.

“Mereka menjangkitkan sembilan anggota keluarga dalam rumah itu,” katanya.

Bagi kes kedua, katanya, pasangan berkenaan pulang ke Tawau pada 8 Mei dan disahkan positif Covid-19 pada 16 Mei.

“Dalam tempoh itu, pasangan berkenaan yang tinggal di Kampung Sg Imam, turut melawat anggota keluarga di Taman Berkeley seterusnya menjangkitkan 43 anggota keluarga,” katanya.

“Disebabkan itu, kerajaan negeri Sabah hari ini memutuskan memperketatkan SOP bagi mereka yang mahu datang ke sini,” katanya.

Menurutnya, negeri itu merekodkan 95 jangkitan baharu dalam tempoh 24 jam, iaitu peningkatan 35 kes berbanding semalam.

Jumlah keseluruhan jangkitan di Sabah kini 59,504 kes, dengan 511 kes aktif. – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *