Wanita Warga Asing Pengedar Dadah Ditahan Di Lahad Datu

Dadah jenis syabu yang dirampas bersama suspek.

LAHAD DATU: Seorang wanita warga asing yang dipercayai menjalankan aktiviti pengedaran dadah berjaya ditahan, di Kampung Air Pasang, Jalan Silam, di sini, semalam.

Dalam operasi Op Tapis yang dijalankan jam 12 tengah hari itu, wanita berusia 38 tahun terbabit ditahan bersama dadah yang dianggarkan bernilai RM5,018 berdasarkan harga pasaran semasa.

Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Rohan Shah Ahmad berkata, operasi dijalankan hasil risikan maklumat yang diterima daripada orang awam.

Katanya, ketika ditahan, pasukan polis mendapati wanita terbabit berada di bahagian dapur bersama satu sampul surat.

“Hasil pemeriksaan lanjut mendapati, sampul surat berkenaan berisi tiga plastik kecil dadah dipercayai syabu seberat 50.18 gram.

“Semua dadah berkenaan dianggarkan mampu menampung penggunaan seramai lebih 5,000 penagih dadah sekitar Lahad Datu dan kawasan sekitar,” katanya dalam kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Rohan Shah berkata, suspek yang ditahan dipercayai warganegara Filipina dan tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan diri yang sah.

Katanya, hasil ujian saringan air kencing terhadap suspek turut didapati positif jenis methapetamine.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952 dan jika didapati bersalah boleh dijatuhi hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup,” katanya.

Sementara itu, Rohan Shah berkata, pihaknya memandang serius kegiatan penyalahgunaan dan pengedaran dadah di daerah ini.

Katanya, sebarang maklumat berhubung penyalahgunaan dadah boleh disalurkan kepada pihak polis untuk tindakan berterusan bagi memastikan daerah ini bebas dari aktiviti jenayah berkenaan. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *