Sabah Akan Laksanakan Larangan Rentas Daerah Mulai 27 Mei

KOTA KINABALU: Larangan merentas daerah di Sabah akan dilaksanakan semula selama lapan hari yang bakal mula berkuatkuasa 27 Mei sehingga 3 Jun ini.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, berkata pihaknya sebelum ini sudah mengeluarkan arahan tidak membenarkan aktiviti rentas daerah bermula 10 Mei lepas sehingga hari ini seperti yang dijadualkan.

Masidi Manjun

Katanya, selepas tarikh terbabit, kerajaan negeri akan melaksanakan semula sekatan rentas daerah mengikut zon seperti yang ditetapkan sebelum ini.

“Seperti yang diumumkan terlebih awal, Sabah akan kembali melaksanakan sekatan rentas daerah mengikut zon bermula esok.

“Walau bagaimanapun, larangan aktiviti rentas daerah akan dilaksanakan semula bermula 27 Mei sehingga 3 Jun.

“Dalam tempoh itu, Kota Kinabalu, Putatan dan Penampang adalah dikategorikan sebagai satu daerah.

“Polis Diraja Malaysia (PDRM) Sabah akan melaksanakan sekatan jalan raya (SJR) dan pengguna jalan raya yang diberikan permit oleh polis atau dokumen sah kebenaran merentas daerah sahaja yang akan diberi pelepasan meneruskan perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan media yang dikeluarkan, hari ini.

Dalam pada itu, Masidi turut menasihatkan rakyat Sabah agar tidak cuba melakukan tindakan untuk merentas daerah tanpa permit atau dokumen berkaitan.

“Rakyat di negeri ini dinasihatkan agar tidak mengambil risiko untuk mencuba nasib merentas daerah (tanpa permit atau dokumen) kerana pihak polis akan mengambil tindakan mengeluarkan arahan untuk berpatah balik.

“Tujuan larangan aktiviti rentas daerah adalah bagi mengawal pergerakan individu dan mengurangkan kontak fizikal demi membendung penularan COVID-19 di Sabah,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *