Kluster Layang-Layangan Sampai Generasi Kelima, Labuan Jadi Zon Merah

Kluster Layang-Layangan telah menjangkiti sebilangan penduduk tempatan, termasuk murid sekolah rendah dan individu lain di sebuah kuil Hindu, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

LABUAN, 16 Mei : Kluster Layang-Layangan COVID-19 telah merebak hingga ke generasi kelima kes, menukarkan pulau bebas cukai ini kepada Zon Merah hari ini, kata Pengarah Kesihatan Labuan Dr Ismuni Bohari.

“Labuan diisytiharkan sebagai sebuah Zon Merah, selepas mencatatkan lebih 40 kes dalam tempoh 14 hari lepas.

Kami telah melakukan yang terbaik untuk mengekang penularannya, tetapi malangnya ada segelintir penduduk tidak mempedulikan prosedur operasi standard (SOP) COVID-19 dan mengadakan perjumpaan keluarga di pantai dan sambutan hari jadi di medan selera, katanya kepada Bernama.

Beliau berkata Kluster Layang-Layangan yang muncul pada 5 Mei, berpunca daripada tujuh warga India dan lima rakyat Malaysia yang tiba di pulau ini dari Semenanjung menerusi Lapangan Terbang Labuan awal bulan ini.   

Ia mempunyai 45 kes setakat hari ini termasuk dua kes dikesan di Kuala Lumpur, dua di Selangor dan satu kes di Kedah.

Dr Ismuni berkata kluster itu telah menjangkiti sebilangan penduduk tempatan, termasuk murid sekolah rendah dan lain-lain di dalam sebuah kuil Hindu.

Beliau berkata tindakan beberapa pesakit positif dan kontak rapat menyembunyikan maklumat mengakibatkan peningkatan kes.

“Kami perlu melipatgandakan usaha menjejak kontak rapat atau pesakit positif sehingga generasi kelima, memerlukan kami bekerjasama dengan klinik swasta untuk mengekang penularannya.

Memandangkan Kluster Layang-Layangan telah merebak ke sekolah-sekolah, kuil dan komuniti tempatan, adalah penting untuk masyarakat terus mematuhi SOP, menjauhi kawasan yang ramai orang dan sesak sepanjang pandemik virus ini, katanya.

Secara kumulatifnya terdapat 2,517 jangkitan dan satu kluster aktif, Layang-Layangan dan 14 kematian setakat hari ini di Labuan – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost