KOTA KINABALU: Tiga anggota bomba direnjat elektrik ketika menyertai operasi memadam kebakaran membabitkan kira-kira 30 rumah di Kampung Meruntum, Lok Kawi, Putatan, dekat sini.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Sabah, Md Ali Ismail berkata, tiga anggota dari Balai Bomba Kota Kinabalu itu berada bawah pemerhatian, tetapi dalam keadaan stabil di hospital.
Beliau berkata, panggilan kecemasan diterima pada 5.40 petang hari ini, dengan beberapa jentera dari Balai Bomba Kota Kinabalu, Penampang dan Lintas dikerahkan ke tempat kejadian.
Kepulan asap tebal boleh dilihat dari pusat bandar Kota Kinabalu, kira-kira 15km dari Putatan.
“Ketika ini, usaha mengawal kebakaran masih dijalankan,” katanya, sambil menambah, tiada kematian dilaporkan setakat ini.
Ali berkata, unit kebakaran dari kem tentera Lok Kawi berdekatan turut membantu usaha memadam kebakaran itu. – FMT
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost