Kesalahan Rentas Daerah Catat Kompaun Tertinggi Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Sebanyak 65 kompaun kerana kesalahan melanggar prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) dikeluarkan pihak berkuasa pada hari pertama sambutan Aidilfitri di Sabah, hari ini.

Jurucakap perkembangan harian Covid-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun, dalam kenyataannya malam ini berkata, lebih separuh daripada kompaun itu adalah atas kesalahan merentas negeri atau daerah.

“Sebanyak 65 kompaun melanggar SOP Covid-19 dikeluarkan di seluruh Sabah, masing-masing 11 orang tidak memakai pelitup muka, 19 orang gagal menyediakan peralatan atau merekod butiran pelanggan dan 35 orang merentas negeri atau daerah tanpa kebenaran,” katanya.

Sabah menguatkuasakan larangan merentas daerah dan negeri bermula 10 Mei lalu hingga 16 Mei ini dalam usaha untuk mengelak penularan Covid-19 yang berpunca daripada aktiviti balik kampung sempena sambutan Aidilfitri.

Sementara itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri berkata, satu kluster baharu Covid-19 dilaporkan di Sabah yang direkod di Kampung Lapan, Tawau, hari ini.

Kluster Kongsi Lapan itu, katanya berpunca daripada seorang wanita berusia 45 tahun yang disahkan positif Covid-19 menerusi saringan bergejala di Klinik Kesihatan Tawau pada 7 Mei lalu.

“Turut dikesan positif Covid-19 ialah sepupu kepada kes indeks yang tinggal serumah dengannya.

“Berdasarkan rekod pergerakan, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri solat sunat terawih dan pengagihan moreh sepanjang Ramadan bermula pada 29 April hingga 6 Mei lalu di Masjid Baitul Farihin, Kampung Lapaj.

“Daripada 56 orang yang disaring, sembilan didapati positif menjadikan jumlah terkini positif Covid-19 bagi kluster ini ialah 11 kes, manakala 34 sampel lagi masih menunggu keputusan,” katanya.

Secara keseluruhan, Sabah hari ini mencatat 76 kes baharu Covid-19 dengan dua kematian, masing-masing di Sandakan dan Lahad Datu, manakala seramai 51 pesakit dilaporkan sembuh.

Daerah Kota Kinabalu memcatat kes tertinggi hari ini dengan 16 kes, diikuti Tawau (13 kes), Kunak (12 kes), Kalabakan (10 kes) dan Penampang (enam kes). – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost