
KOTA KINABALU: Sembilan tahanan di Depoh Tahanan Imigresen (DTI) Manggatal, di sini, cuba melarikan diri pagi tadi, dipercayai untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri.
Sumber berkata, semua tahanan berusia 20 hingga 40-an itu melarikan diri dengan memanjat tembok DTI, tetapi tiga daripadanya ditahan semula dalam kawasan pagar DTI oleh pegawai Jabatan Imigresen yang sedang membuat kawalan.

Beliau berkata, enam lagi tahanan itu melarikan diri ke arah belakang DTI, berhampiran sebuah kampung di kawasan berkenaan.
“Usaha memburu enam tahanan giat dijalankan dengan kerjasama Jabatan Imigresen dan polis,” katanya.
Pesuruhjaya Polis Sabah, Hazani Ghazali ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan operasi memburu tahanan terbabit giat dijalankan.
Sebelum ini, sekumpulan tahanan di DTI Manggatal dilaporkan merusuh kerana tidak berpuas hati tidak dibenarkan pulang menyambut Syawal.
Bagaimanapun, keadaan berjaya dikawal selepas Unit Tempur Ringan (LSF) dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kota Kinabalu dikerah ke DTI itu.
Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost