Penduduk Tawau Disaran Patuh Larangan Ziarah Aidilfitri, Kekang Penyebaran COVID-19

Christina menyerahkan makanan berbuka puasa kepada orang ramai di Pusat Komersial Bintang Kubota, turut kelihatan Fung (kanan).

TAWAU: Penduduk Tawau dinasihatkan untuk memandang serius serta mematuhi larangan ziarah Hari Raya Aidilfitri dalam usaha mengekang penyebaran COVID-19 sepertimana yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin Isnin lalu.

Ahli Parlimen Tawau Datuk Christina Liew berkata langkah drastik diperlukan untuk mencegah peningkatan jumlah kes positif COVID-19 harian dan menurunkan kematian di negara ini.

“Pematuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) untuk aktiviti yang dibenarkan dan dilarang dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan yang baharu diumumkan adalah kunci untuk menyelamatkan Malaysia dari mencatatkan kes lebih tinggi sehingga menjejaskan ekonomi dan sosial.

“Tindakan demonstrasi serta tunjuk perasaan tidak akan menyelesaikan situasi yang semakin kritikal di negara ini, oleh itu saya meminta semua warga Tawau untuk berfikir bagi jangka panjang berkenaan keselamatan diri, perlindungan keluarga, kesihatan awam dan pemulihan ekonomi kita,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas mengagihkan 600 bungkusan termasuk bubur kacang hijau, kurma dan kek kepada orang ramai di Pusat Komersial Bintang Kubota dan Jalan Chong Thien Vun, di sini.

Turut hadir Ketua Pegawai Perhubungan Parlimen Tawau, Fung Thin Yein, Pegawai Perhubungan Robert Penggai dan Grace Lee dari Pejabat DUN Api Api.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Api Api berkata memandangkan krisis kesihatan yang sedang berlaku, perhimpunan seharusnya diadakan dalam kalangan ahli keluarga mengikut jumlah ditetapkan seperti yang dinasihatkan oleh Ketua Pengarah Kesihatan.

Pengagihan makanan untuk berbuka puasa dianjurkan oleh Pusat Khidmat Rakyat Parlimen Tawau. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost