Guru & Wanita Hamil Kes Indeks Kluster Baharu Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU, 12 Mei : Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesan dua kluster baharu COVID-19 iaitu Kluster Kebagu di sini serta Papar dan Kluster Tanjong Kapor di Semporna melibatkan kes indeks guru dan wanita hamil, kata Menteri Kerajaan dan Perumahan negeri Datuk Masidi Manjun.

Beliau berkata bagi Kluster Kebagu kes indeks merupakan seorang guru wanita, 53, di Sekolah Kebangsaan Kebagu yang disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 3 Mei lepas.

“Saringan kontak dilakukan antaranya terhadap 281 orang termasuk guru, kakitangan serta pelajar di sekolah terbabit…semua ujian saringan dilakukan mengesan jumlah kes kluster itu setakat ini sebanyak 15 kes,” katanya menerusi kenyataan di sini malam ini.

Masidi berkata Kluster Tanjung Kapor setakat ini melibatkan lapan kes dengan kes indeks seorang wanita warganegara berusia 31 tahun yang hamil 27 minggu dikesan pada 9 Mei lepas di Hospital Semporna.

Beliau berkata wanita itu mengalami kekejangan otot di bahagian bawah abdomen telah dibawa ke hospital itu namun ujian saringan dilakukan mendapati wanita itu positif COVID-19, manakala saringan kontak rapat menemukan tujuh isi rumah wanita itu positif COVID-19.

Sementara itu, beliau berkata JKNS telah merekodkan 70 kes positif baharu COVID-19 di negeri ini yang menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 59,073 kes. 

“Kes kematian hari ini membabitkan tiga kematian di daerah Papar, Kinabatangan dan Tawau. Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh adalah 56 dan menjadikan jumlah kumulatif seramai 57,917 orang. 

“Seramai 576 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 239 orang di hospital dan 337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya.

Masidi berkata sehingga kini bagi fasa pertama seramai 56,281 orang telah menerima suntikan dos pertama manakala dos kedua seramai 50,552 orang; dan fasa dua pula seramai 30,981 telah menerima suntikan bagi dos pertama.

“Bbilangan pendaftaran penerima vaksin hari ini sejumlah 2,045 menjadikan jumlah kumulatif yang mendaftar setakat ini sebanyak 485,946 orang,” katanya. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost