60 Penduduk DUN Kukusan Terima Sumbangan Baju Raya

Rina (kiri) semasa turun padang menyampaikan sumbangan tersebut.

TAWAU : Sebanyak 60 helai pakaian raya terpakai berjaya diagihkan kepada golongan asnaf menerusi program Muhibbah Ramadan Kukusan Kita.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kukusan, Rina Jainal berkata sumbangan tersebut diagihkan di sekitar kawasan DUN Kukusan.

“Saya bersama petugas Pejabat DUN bergerak seawal jam 3 pagi ke beberapa lokasi yang sudah dikenal pasti memerlukan bantuan berkaitan.

“Antara lokasi yang dikunjungi termasuklah Kampung Jawa, Jalan Morrel, Kampung Gabungan dan beberapa kawasan sekitar termasuk Tanjung Batu Otentik dan Taman Wawasan,”katanya

Beliau berkata, selain baju raya terpakai, sumbangan turut diberikan dalam bentuk bakul makanan dan biskut raya.

“Namun, bukan semua penerima akan menerima sumbangan sama, sebaliknya ia diberikan mengikut keperluan dan permintaan penduduk.

“Seperti yang saya maklumkan sebelum ini, disebabkan kekangan kewangan, ia memberi kesan kepada kapasiti bantuan.

“Bagaimanapun, saya sedaya upaya membantu selagi boleh,” katanya dalam kenyataan medianya, di sini semalam

Menurut Rina, perancangan program Muhibbah Ramadan Kukusan Kita telah dirancang sejak awal Ramadan yang mana membabitkan proses pengumpulan maklumat dan sebagainya.

“Saya sedar, tidak semua mampu membeli pakaian raya khususnya keluarga yang terjejas akibat Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) atau hilang punca pendapatan.

“Idea untuk menyumbang pakaian ini tercetus, sebaik mendapati ada pakaian raya terpakai yang masih dalam keadaan elok tetapi tidak digunakan,” katanya.

Katanya, pihaknya juga mempelawa orang ramai yang mempunyai pakaian raya elok untuk didermakan menerusi program ini.

“Alhamdulillah, sejak dimaklumkan menerusi media sosial, ramai yang menghubungi Pejabat DUN Kukusan untuk menghantar pakaian mereka,”katanya.

Rina berkata, sebelum ini, pihaknya hanya menyasarkan sumbangan diberikan kepada 30 orang sahaja.

“Namun, disebabkan banyak sumbangan diterima selain ramai yang memohon bantuan, sebanyak 60 pakaian hari raya pelbagai peringkat umur berjaya diedarkan.

“Saya terharu kerana ramai yang tampil membantu, sekali gus dapat membantu lebih ramai orang,” katanya. – Utusan Borneo

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost