Penguat Kuasa Cetus Kluster Baharu, Jangkitan Di 8 Daerah Di Sabah

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Seorang penguatkuasa yang dijangkiti COVID-19 mencetuskan satu kluster baharu, iaitu Kluster Kompleks Empat di lapan daerah di Sabah semalam.

Jurucakap perkembangan harian COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun berkata kluster terbabit dikesan di daerah Kota Kinabalu, Papar, Tuaran, Penampang, Putatan, Ranau, Kota Belud dan Sandakan.

“Kes indeks adalah pegawai penguatkuasa lelaki berusia 32 tahun di Aras 4 Kompleks Pentadbiran Kerajaan Persekutuan Sabah yang disahkan positif COVID-19 hasil saringan rentas negeri (dari Kota Kinabalu ke Labuan) di klinik swasta pada 5 Mei lalu.

“Susulan kes itu, saringan kontak rakan sekerja mendapati 14 kes positif di Kota Kinabalu dan tiga kes di Tuaran, sementara Kota Belud, Sandakan dan Papar masing-masing mencatatkan dua kes.

“Kluster terbabit turut mencatat satu kes positif COVID-19 masing-masing di Putatan, Ranau dan Penampang sekali gus menjadikan jumlah kumulatif bagi kluster ini sebanyak 27 kes.

“Setakat semalam pasukan kawalan giat menjalankan aktiviti pengesanan kontak,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.

Dalam pada itu, Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri berkata, jumlah kes harian COVID-19 semalam kekal mencatatkan kes sebanyak dua angka.

“Berdasarkan laporan Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), jumlah kes positif baharu COVID-19 pada hari ini adalah sebanyak 96 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 58,953 kes dan satu kes kematian direkodkan di Lahad Datu.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar dari hospital seramai 102 menjadikan jumlah kumulatif 57,770 orang.

“Seramai 594 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 235 orang di hospital dan 359 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *