Polis, ESSCom Tahan 8 Ahli Kumpulan Abu Sayyaf

Gambar Hiasan

KOTA KINABALU: Lapan individu termasuk dua dalam senarai orang dikehendaki membabitkan kumpulan militan Abu Sayyaf ditahan dalam serbuan di kawasan paya bakau berhampiran Taman Sri Arjuna, Beaufort, di sini, Sabtu lalu.

Dalam operasi jam 3 pagi itu, polis menahan keseluruhan 37 individu itu selepas disyaki menggunakan resit pengenalan sementara palsu.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, serbuan dijalankan hasil kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM) bersama pasukan Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM).

Katanya, operasi khas itu dijalankan berdasarkan perkongsian maklumat daripada pasukan keselamatan negara jiran Filipina.

“Semua individu yang ditahan adalah warga Filipina membabitkan lapan lelaki dan lapan wanita serta 21 kanak-kanak.

“Lapan yang ditahan terbabit dengan kumpulan militan Abu Sayyaf, manakala dua lagi tersenarai sebagai orang dikehendaki kerajaan Filipina,” katanya pada sidang media di pejabatnya, hari ini.

Hazani berkata, semua individu terbabit dipercayai melarikan diri masuk ke negeri ini berikutan gerakan pasukan keselamatan Filipina membanteras kegiatan kumpulan militan berkenaan di negara jiran.

Katanya, kumpulan berkenaan dikenalpasti hanya terbabit dalam kes pertempuran dengan pihak berkuaa negara jiran dan tidak berkaitan dengan sebarang kes penculikan di perairan negeri Sabah.

“Semua individu terbabit ditahan reman selama tujuh hari bagi membantu siasatan lanjut.

Katanya, siasatan menjurus kepada beberapa persoalan termasuk sama ada sebarang senjata api dibawa selain sebab utama masuk ke negeri ini.

“Siasatan juga dijalankan bagi mengenalpasti sama ada wujud sel tersendiri membabitkan kumpulan Isis dan Abu Sayyaf Group di Sabah,” katanya.

Hazani menunjukkan gambar lapan ahli kumpulan Abu Sayyaf yang ditahan.

Hazani berkata, siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 50 (3) Akta Pertubuhan 1966.

Sementara itu, Hazani berkata, beliau sudah mengarahkan semua Ketua Polis Daerah supaya memantau kawasan paya bakau ataupun perumahan setinggan bagi mengenalpasti sama ada berkaitan dengan kumpulan ini.

Katanya, semua ketua kampung dan ketua penempatan juga diminta supaya membantu mengenalpasti individu-individu baru yang tinggal di kawasan mereka.

“Di Sabah, kita mengenalpasti sebanyak 624 penempatan setinggan bagi memastikan tiada mana-mana daripada kumpulan ini menjadikannya sebagai tempat bersembunyi.

“Oleh demikian, kita akan memperincikan setiap laluan atau kawasan-kawasan berpotensi bagi memastikan kemasukan kumpulan militan ini dapat dibendung,” katanya. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost