Jangan Buat Demostrasi Bantah PKPD

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas

TAWAU: Polis akan mengambil tindakan tegas terhadap pihak yang mahu menganjurkan demonstrasi atau sebarang bentuk bantahan berhubung pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di daerah ini.

Ketua Polis Daerah Tawau Asisten Komisioner Peter Umbuas berkata, ia termasuk tindakan mengikut Akta Perhimpunan Aman, Akta Hasutan dan Ordinan Darurat (Pindaan 2021).

Beliau berkata, pihaknya menerima laporan mengenai cubaan individu atau pihak tertentu yang berhasrat menganjurkan demonstrasi di beberapa kawasan termasuk lokaliti di bawah PKPD.

“Perkara ini (demonstrasi) seakan-akan mula menjadi satu trend dan ini tidak baik kerana dikhuatiri akan mengganggu-gugat ketenteraman awam.

“Pihak polis sama sekali tidak akan tunduk dengan tindakan atau cubaan sedemikian dan sebarang permohonan ke arah itu juga tidak akan dilayan,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Tawau, di sini, hari ini.

Peter berkata, sepanjang bulan ini sahaja, beberapa individu sudah dipanggil untuk memberi keterangan kerana disyaki cuba mencetuskan dan menganjurkan demonstrasi haram.

Terbaharu, katanya, polis mengesan cubaan penganjuran demonstrasi di Kampung Titingan, di sini, malam tadi, sebelum ia dibatalkan.

Mengulas mengenai perkembangan siasatan tujuh individu termasuk aktivis sosial yang di bebaskan sebelum ini, beliau berkata, pertuduhan ke atas mereka akan dibuat dalam masa terdekat. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *