Peningkatan Zon Merah, Sabah Dikenakan PKPB

KUALA LUMPUR, 27 April : Majlis Keselamatan Negara (MKN) memutuskan untuk menukar status Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) di Sabah kepada Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) berikutan peningkatan zon merah di negeri itu.

Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata sebanyak 33 lokaliti di negeri itu sedang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) manakala zon hijau pula kian berkurangan.

Sementara itu, Ismail Sabri berkata 10 daerah di Kelantan iaitu Bachok, Jeli, Kota Bharu, Machang, Kuala Krai, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah, Tumpat dan Gua Musang dikekalkan status Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) selepas menunjukkan kadar insiden yang semakin meningkat.

“Secara keseluruhan, KKM (Kementerian Kesihatan) mengesahkan status kes COVID-19 di kebanyakan negeri ketika ini menunjukkan trend tidak stabil serta nilai (R-naught) meningkat dan melepasi angka 1.0 sejak 20 hari yang lepas.

“Selain itu, berdasarkan pemantauan kes COVID-19 di Malaysia, KKM mengesahkan bilangan kluster berkaitan aktiviti sosial dan pendidikan bertambah sejak dua minggu kebelakangan ini,” katanya pada sidang media mengenai perkembangan PKP di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata sebanyak lima negeri dikekalkan status PKPB iaitu Selangor, Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak.

Beliau berkata status PKPP di Perlis, Kedah (kecuali di Kuala Muda), Perak, Melaka, Negeri Sembilan (kecuali Seremban), Pahang, Terengganu, Putrajaya dan Labuan juga dikekalkan.

“Pengekalan status PKP, PKPB dan PKPP bagi negeri-negeri ini akan berkuat kuasa bermula 29 April hingga 17 Mei kecuali Sarawak yang bermula 27 April hingga 17 Mei ini,” katanya.

Mengenai kebenaran rentas negeri, Ismail Sabri berkata ia masih tidak dibenarkan memandangkan penularan COVID-19 masih mencatat peningkatan termasuk di Kedah, Perak, Kelantan, Melaka, Pahang dan Sarawak.

“Seperti prosedur operasi standard (SOP) yang lepas, pergerakan rentas negeri masih tidak dibenarkan kecuali bagi aktiviti pelancongan dari negeri PKPP ke negeri PKPP melalui konsep ‘green travel bubble’ menggunakan syarikat dan ejen pelancongan yang berdaftar dengan MOTAC (Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya).

“Pergerakan rentas daerah dibenarkan kecuali Sabah dan Sarawak atas keputusan kerajaan negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Ismail Sabri memaklumkan bahawa kerajaan hari ini memutuskan untuk menamatkan PKPD di Politeknik Mukah, Sarawak dan Kampung Ranggu Batu 10, Fasa Dua Taman Semarak dan Kampung Tanjung Batu Keramat di Tawau, Sabah.

Bagaimanapun, kerajaan membuat keputusan untuk melanjutkan PKPD di Kampung Baru Pasir Putih, Mukim Sri Tanjung di Tawau, Sabah bermula 29 April hingga 12 Mei.

Ismail Sabri

Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata kerajaan akan melaksanakan PKPD di PPR Batu 2 Lorong Habib Abdul Rahman dan di PPR Bt. 8 Jalan Apas di daerah Tawau, Kompleks Abedon (Bumiwealth, Kolopis dan Tanaki) di daerah Kinabatangan dan di FELDA Umas di daerah Kalabakan, Sabah bermula 28 April hingga 11 Mei ini. 

Katanya, PKPD turut dilaksanakan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Ulu Balingian di Sibu, Sarawak berkuat kuasa 28 April hingga 11 Mei.

Berkenaan pematuhan SOP, Ismail Sabri berkata 282 individu ditahan kerana ingkar SOP termasuk 277 dikompaun manakala lima direman, semalam.

Pada masa sama katanya, 19 pendatang tanpa izin ditahan serta lima kenderaan darat dirampas dalam Op Benteng. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *