Jika Benar Dipukul, Buat Laporan – Polis

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali

KOTA KINABALU: Polis Sabah menafikan sekeras-kerasnya dakwaan individu yang ditahan di Kampung Muhibbah Raya, Tawau, sebelum ini, dipukul anggota polis.

Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Hazani Ghazali berkata, dakwaan berkenaan dipandang serius dan mengarahkan siasatan segera dijalankan.

“Berdasarkan siasatan yang dijalankan setakat ini, polis menafikan sekeras-kerasnya berlaku sebarang perlakuan oleh pegawai atau anggota ke atas seorang tangkapan.

“Apatah lagi melakukan sebarang kekerasan kepada mana-mana tangkapan atau Orang Kena Tahan (OKT) yang berada dalam kawalan atau tahanan polis.

“Sekiranya kejadian ia benar-benar berlaku, kita alu-alukan dia buat laporan polis,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Hazani berkata, berdasarkan siasatan, individu yang ditahan bukan penduduk Kampung Muhibbah sebaliknya dari kawasan luar.

Katanya, difahamkan mereka ke lokasi berkenaan bukan untuk menyampaikan bantuan, sebaliknya untuk membuat demonstrasi.

“Ketika pemantauan dibuat, semua yang ditahan sedang berhimpun sambil memegang sepanduk yang mengandungi kata-kata provokasi dan membantah pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Tawau.

“Penganjur didapati gagal mengemukakan Notis Pemberitahuan kepada Ketua Polis Daerah dan diberikan arahan bersurai namun tidak diendahkan dan perhimpunan masih diteruskan,” katanya.

Hazani berkata, aktiviti perhimpunan berkenaan adalah aktiviti terlarang yang menyukarkan pelaksanaan penjarakan sosial dan pematuhan SOP seperti mana diwartakan kerajaan.

Sebelum ini, tujuh individu berusia 26 hingga 31 tahun yang ditahan membabitkan perhimpunan protes terhadap Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Kampung Muhibbah Raya dan kini direman.

Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 25 Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit)(Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori PKP.

Selain itu, kes turut disiasat mengikut Seksyen 188 Kanun Keseksaan dan Seksyen 9(5) Akta Perhimpunan Aman 2012. – HMetro

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *