Guna Kad Pengenalan Milik Orang, Palsu, 8 Pengawal Keselamatan Warga Filipina Dipenjara

Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin berkata, mereka memperoleh kad pengenalan berkenaan daripada ejen di Sabah.

KUALA LUMPUR: Lapan pengawal keselamatan warga Filipina dipenjara antara dua hingga 18 bulan masing-masing oleh lima Mahkamah Majistret di sini hari ini, selepas mereka mengaku bersalah menggunakan kad pengenalan palsu dan kad pengenalan milik orang lain dua hari lalu.

Mereka ialah Romi Jakira, Rijan Esnael, Razmie Alim, Sababon Insalon, Ambitun Absarun, Buyong Akalol, Askun Nahilun dan Asmarun Kilong yang masing-masing berusia 23 hingga 58 tahun.

Pengawai JPN mengiringi lapan orang warganegara Filipina yang ditahan atas kesalahan menggunakan Kad Pengenalan palsu dan bekerja sebagai pengawal keselamatan untuk didakwa di Mahkamah Majistret Kuala Lumpur hari ini. – Foto Utusan

Pertuduhan terhadap lapan lelaki itu dikemukakan di lima mahkamah berasingan iaitu di hadapan Majistret S Mageswary; Tawfiq Affandi Chin; Fardiana Haryanti Ahmad Razali; Wong Chai Sia dan Aina Azahra Arifin.

Ketika menjatuhkan hukuman, kesemua majistret turut memerintahkan setiap tertuduh menjalani hukuman penjara bermula dari tarikh tangkap pada 20 April lalu.

Bagi pertuduhan menggunakan kad pengenalan milik orang lain sebagai pengenalan diri, Rijan didakwa telah melakukan perbuatan itu di Stadium Merdeka, Jalan Stadium di sini pada 12.15 pagi, 21 April lalu.

Lelaki itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(o) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tiga tahun atau denda hingga RM20,000 atau kedua-duanya.

Bagi tujuh lagi tertuduh, mereka didakwa menggunakan kad pengenalan palsu sementara di Kompleks Kementerian Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Stadium Negara di sini antara 1.20 pagi dan 5 petang, 21 April lalu mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman sama.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai-pegawai Pendakwa daripada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) iaitu Mohd Zakuan Zakaria, Mohd Supian Abdullah dan Mohamad Riduawan Abdullah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.

Sementara itu, Pengarah JPN Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur Eris Jemadi Tajudin berkata, berdasarkan maklumat risikan, Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan jabatannya telah menjalankan Operasi Terancang Pemeriksaan Kad Pengenalan di Stadium Merdeka di sini, Selasa lalu.

“Hasil pemeriksaan itu seramai lapan pengawal keselamatan yang sedang bertugas di pondok pengawal Stadium Merdeka telah ditahan dan mengaku mereka berasal dari Filipina,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Siasatan juga mendapati mereka memperoleh kad pengenalan palsu daripada ejen di Sabah sebelum menyelinap masuk ke Semenanjung Malaysia untuk bekerja sebagai pengawal keselamatan. – BERNAMA

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

3440