Warga Emas Maut Dihempap Pokok

Mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut.

PENAMPANG: Seorang lelaki warga emas maut selepas dihempap pokok di kebun miliknya di Rugading Kibambangan, di sini, pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, mangsa berusia 69 tahun dikatakan bersama anaknya membersihkan kawasan termasuk memotong dahan di kawasan berkenaan.

Bagaimanapun, ketika melakukan kerja-kerja pembersihan, sebatang pokok dipercayai  terjatuh dan terkena kepala mangsa.

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Mohd Haris Ibrahim berkata, mengikut laporan, mangsa yang dihempap sebatang kayu sempat menjerit kesakitan dan meminta tolong.

“Katanya, anak mangsa yang menyedari kejadian itu terus menghubungi talian kecemasan untuk mendapatkan bantuan segera.

“Pasukan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang yang menerima panggilan kecemasan terus bergegas ke lokasi kejadian untuk memberi bantuan kecemasan.

“mangsa bagaimanapun disahkan meninggal dunia ketika cuba dibawa keluar daripada kebun berkenaan ,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Mohd Haris berkata, siasatan awal mendapati mangsa sudah berada di kebun itu sejak seminggu lalu.

Sementara itu, jurucakap JBPM Sabah, berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan jam 10.46 pagi dan mengerah sepasukan bomba ke lokasi kejadian yang terletak sejauh 13 kilometer dari balai bomba.

Katanya, setiba di lokasi, pasukan terpaksa menggunakan laluan pejalan kaki sejauh satu kilometer ke lokasi kejadian.

“Pasukan EMRS melakukan rawatan awal dan sebelum membawa mangsa ke lokasi selamat dengan menggunakan ‘stretcher’.

“Mangsa kemudiannya diserahkan kepada pihak perubatan hospital untuk rawatan susulan namun disahkan meninggal dunia” katanya di sini, hari ini.

Menurutnya, mayat mangsa diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut dan operasi tamat pada jam 2.35 petang. – AsiaTimes

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *