Perjuang Hak Sabah, Usah Sibuk Jadi Jurucakap Putrajaya, Azis Beritahu Maximus

Azis Jamman (kiri) berkata, Maximus Ongkili sepatutnya bersama pemimpin Sabah yang lain menuntut semua hak Sabah yang terkandung dalam Perjanjian Malaysia 1963.

KOTA KINABALU: Seorang wakil rakyat Warisan menyelar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Maximus Ongkili, kerana mempertikaikan kejayaan parti itu menuntut 17 daripada 21 perkara dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63).

Ahli Parlimen Sepanggar, Azis Jamman, berkata Maximus yang berasal dari Sabah sepatutnya memperjuangkan hak negeri itu untuk mendapatkan kuasa mengawal dan menguruskan agihan minyak di Sabah, seperti Sarawak yang berjaya mendapatkan semula hak menguruskan agihan gas.

“Amat menyedihkan bila menteri yang berasal dari Sabah bercakap bagi pihak persekutuan dan bukannya berusaha menuntut hak-hak Sabah dalam mendapatkan kuasa untuk mengawal sepenuhnya agihan minyak yang diperolehi dari Sabah.

“Kenapa mesti Maximus sibuk mempertikaikan perjuangan Warisan sedangkan beliau seharusnya bersatu hati dengan pemimpin Sabah yang lain untuk mendapatkan semula semua hak Sabah yang terkandung dalam MA63?

“Daripada dia (Maximus) sibuk memutar belitkan fakta untuk mengelirukan rakyat Sabah, saya rasa lebih baik beliau terus perjuangkan hak Sabah dalam mendapatkan hak pengurusan agihan minyak di negeri ini,” katanya dalam kenyataan.

Azis berkata, adalah jelas 17 daripada 21 perkara yang diperjuangkan Warisan berjaya dicapai, namun dari segi pelaksanaan, ia tertangguh akibat ketidakstabilan politik susulan pertukaran kerajaan persekutuan.

“Kenapa mesti Maximus mempersoalkan kelulusan yang telah diberikan? Lebih baik dia fokus mendapatkan lebih banyak hak Sabah.”

Mengenai isu pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan yang dikembalikan kepada Sabah, Azis berkata, ia antara perkara pertama yang dipersetujui kerajaan Pakatan Harapan (PH) terdahulu.

Katanya, tidak logik permit menyelam di Pulau Sipadan yang mampu menjana jutaan ringgit diletakkan di bawah bidang kuasa Majlis Keselamatan Negara sedangkan Sabah tidak mendapat sebarang hasil daripadanya.

“Pada 2019, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang) ketika itu, Hanipa Maidin dalam persidangan Dewan Negara menyatakan 17 daripada 21 perkara telah diselesaikan dan salah satunya adalah pentadbiran Pulau Sipadan dan Ligitan.

“Tiada sebarang pertikaian dibangkitkan di Dewan Negara ketika itu, malah semasa persidangan Parlimen pada 28 Jul 2020, Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Hanifah Hajar Taib memaklumkan kerajaan menerusi Bahagian Hal Ehwal Sabah dan Sarawak di Jabatan Perdana Menteri sedang memantau perkembangan pelaksanaan 17 perkara yang diputuskan Jawatankuasa Khas Kabinet MA63 dari semasa ke semasa.

“Kenyataan itu secara jelas menunjukkan 17 perkara itu telah selesai dan hanya menunggu pelaksanaan kerajaan.” – FMT

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost