Parti Cinta Sabah Minta Penjelasan Isu MA63, ‘Wilayah’ Sabah

Anifah Aman (tengah) bersama Wilfred Bumburing (kiri) ketika kunjungan hormat kepada Ketua Menteri Sabah Datuk Hajiji Noor.

KOTA KINABALU: Parti Cinta Sabah (PCS) meminta kerajaan negeri memberi penjelasan mengenai isu Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) termasuk berkaitan panggilan wilayah untuk Sabah.

Presidennya, Datuk Seri Anifah Aman, berkata perkara itu dicadangkan ketika kunjungan hormat pemimpin tertinggi PCS yang diketuainya terhadap Ketua Menteri Sabah, Datuk Hajiji Noor, semalam.

Menerusi kenyataannya, Bekas Menteri Luar itu berkata pihaknya juga mencadangkan supaya kerjasama yang membabitkan pelbagai pihak diwujudkan bagi membincangkan isu itu secara menyeluruh demi kepentingan rakyat Sabah.

“Antara cadangan dan pandangan yang dibincangkan termasuklah kerjasama antara pelbagai pihak, penjelasan berkaitan isu MA63 yang lebih terperinci termasuklah keputusan terbaharu pihak kerajaan mengumumkan Sabah sebagai sebuah wilayah dan hala tuju Sabah secara menyeluruh,” katanya dalam kenyataan di Facebook.

Yang turut bersama beliau dalam kunjungan hormat itu ialah Timbalan Presiden PCS, Datuk Wilfred Bumburing.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, ketika lawatannya ke Sarawak menyebut bahawa Sabah dan Sarawak adalah wilayah dan bukan negeri.

Anifah berkata, ketika kunjungan hormat terhadap Ketua Menteri itu, beliau menegaskan pandangan PCS terhadap pelbagai isu berkaitan dengan hak rakyat Sabah,” katanya.

Semalam, Hajiji dalam kenyataannya menegaskan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tetap dengan pendirian mahu semua perkara berkaitan tuntutan dalam MA63 ditunaikan oleh kerajaan Pusat.

Beliau berkata pendirian itu ditekankan sekali lagi ketika Mesyuarat Majlis Khas MA63 (MKMA63) yang dipengerusikan secara maya oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kelmarin. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *