PKPD Di Kampung Meruntum, Putatan Mulai Esok

PUTRAJAYA: Kampung Meruntum di Putatan Sabah, kini dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) susulan peningkatan kes jangkitan COVID-19 di kawasan itu.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, berkata Kementerian Kesihatan (KKM) melaporkan peningkatan dalam lokaliti itu selain masih ada 62 sampel masih menunggu keputusan ujian.

“Selepas membuat penilaian risiko bersama pelbagai agensi serta jawatankuasa teknikal PKP dan atas nasihat KKM, kerajaan bersetuju untuk melaksanakan PKPD di Kampung Meruntum, Putatan, Sabah bermula 13 April hingga 26 April ini.

“PKPD ini bertujuan membuat pengesanan awal kes dan menyekat penularan COVID-19 di kawasan itu manakala prosedur operasi standard (SOP) digunapakai sama dengan PKPD (sebelum ini) serta boleh dirujuk melalui laman sesawang MKN,” katanya dalam sidang media hari ini.

Semalam, KKM melaporkan mengesan satu kluster komuniti iaitu Kluster Meruntum membabitkan satu majlis sosial yang berlangsung di Kampung Meruntum Fasa 3, Putatan pada 27 Mac hingga 28 Mac lalu.

Kes indeks bagi kluster ini adalah seorang lelaki tempatan berusia 66 tahun yang dilaporkan positif COVID-19 kelmarin, hasil saringan kontak rapat. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *