Guru Besar Cetus Kluster Baharu Di Sabah

Masidi Manjun

KOTA KINABALU: Seorang guru besar sekolah rendah yang dijangkiti COVID-19 telah mencetuskan satu kluster baharu di daerah Tawau hari ini, kata Jurucakap COVID-19 Sabah, Datuk Masidi Manjun.

Kluster Rich Park sudah menjangkiti 12 individu yang mana kes indeks adalah guru besar sekolah rendah, lelaki berusia 58 tahun.

Kes indeks disahkan positif COVID-19 selepas menjalani saringan bergejala di klinik swasta pada 1 April lalu dan berdasarkan penelitian, kes indeks dipercayai mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis kenduri kahwin ahli keluarga di tiga lokasi berbeza.

Antara lokasinya ialah Taman Rich Park dan Taman Ria Tawau pada 26 Mac 2021 (30 orang setiap lokasi), sebelum menghadiri majlis resepsi di sebuah hotel membabitkan kehadiran 200 orang.

“Selain itu, kes indeks juga telah menghadiri mesyuarat yang dihadiri sekurang-kurangnya 50 orang. Hingga hari ini, 95 orang telah disaring dan 12 individu didapati positif. Aktiviti pengesanan kontak rapat kini giat dijalankan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Masidi yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan merangkap Menteri Kewangan II negeri turut berkata jumlah kes harian COVID-19 di Sabah masih kekal dua angka. Jumlah kes di Sabah hari ini adalah 68 kes, menjadikan jumlah kumulatif 55,057 kes dan satu kes kematian di Tawau.

“Jumlah pesakit COVID-19 yang sembuh dan dibenarkan keluar hospital ialah 54 menjadikan jumlah kumulatif 54,123 orang.

“Seramai 476 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 201 orang di hospital dan 275 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam,” katanya. – BH Online

Ikuti kami di Telegram Untuk Mendapatkan Berita Dari Negeri Sabah: klik 👉 https://t.me/sabahpost

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *